Friday, July 25, 2014

Gaza - 2 Masjid, 1 Surau Sumbangan MALAYSIA Musnah

 Israel bom masjid, surau ‘kita’
Kuala Lumpur: Dua masjid dan sebuah surau di Gaza, yang dibina menggunakan dana sumbangan rakyat Malaysia, musnah dibom dalam serangan rejim Zionis Israel yang masuk hari ke-17 semalam.

Masjid An-Nasr dan Masjid Umar Abdul Aziz serta Surau Syeikh Solah Syahadah, dibina Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggunakan sumbangan derma rakyat Malaysia. MAPIM antara badan kemanusiaan Malaysia yang menggerakkan misi kemanusiaan ke Gaza, selain Mercy Malaysia dan Aman Palestin sejak serangan bermula 8 Julai lalu.
 
 Tiga rumah ibadat itu terletak di Beit Hanoun di utara Gaza, antara lokasi tumpuan serangan rejim yang setakat ini mengorbankan lebih 730 warga Palestin dan mencederakan 4,605 yang lain.

Setiausaha Agung MAPIM, Abdullah Ismail, berkata kedua-dua masjid mengalami kerosakan kritikal, termasuk menara Masjid An-Nasr yang musnah dibedil Israel, manakala Surau Syeikh Solah Syahadah pula musnah sepenuhnya dalam serangan hari ketiga tentera Zionis.

“Surau itu dibina dengan kos RM31,000, terletak kira-kira 800 meter dari sempadan Israel,” katanya kepada BH, di sini semalam, selepas menghantar memorandum kepada media mengenai perkembangan di Gaza.

Halang misi kemanusiaan

Ketika ini, pihak berkuasa Mesir menghalang pergerakan dari Kaherah ke sempadan Rafah dengan misi kemanusiaan yang melepasi Terusan Suez, diarah berpatah balik oleh tentera negara.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Penasihat Persekutuan Persatuan Perubatan Islam (FIMA) yang juga Pengerusi Viva Palestina Malaysia, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata setakat ini hanya lima doktor sukarelawan, termasuk seorang pakar berjaya memasuki Gaza melalui laluan Erez yang dikawal Israel, selepas laluan Rafah ditutup sepenuhnya.

Sebelum ini, FIMA melalui kerjasama Kesatuan Perubatan Arab (AMU) yang berpangkalan di Kaherah, berjaya menghantar tujuh trak bekalan ubat-ubatan ke Gaza. sumber

No comments: