Thursday, July 17, 2014

GLOBAL - Boikot Produk Berkait Israel Memang Berkesan

KUALA LUMPUR: Kempen boikot barangan dan produk berhubung kait dengan Israel di peringkat antarabangsa haruslah dianjurkan sebagai 'senjata' yang dapat mengurangkan kekejaman dan kerakusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata isyarat boikot daripada orang Islam dan bukan Islam seluruh dunia itu secara sepakatnya pernah dilakukan sebelum ini dan terbukti berjaya.
"Ini adalah isyarat jelas dan keras kepada mereka kerana kuasa ekonomi di tangan kita dan Israel sememangnya bergantung kepada aspek ekonomi dan keselamatan.

"Apabila seluruh dunia mula boikot, mereka takut dan mula kendur sikit (kekejaman di Gaza)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Wacana Fikrah Ummah: "Pembangunan Sistem Kewangan Islam, Sejarah, Potensi dan Cabaran" di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Beliau berkata, boikot peringkat antarabangsa ini bukan lagi membabitkan isu agama kerana regim Zionis telah menafikan hak dan mematikan prinsip kemanusiaan lantaran pencerobohan itu.

Asyraf berkata, seluruh dunia tahu dan mempunyai pelbagai bukti bahawa orang awam yang tidak bersalah telah dibunuh sewenang-wenangnya dan kerana itu kempen boikot pasti berjaya satu hari nanti.

Katanya, tahap kesedaran memboikot barangan dan produk berhubung kait dengan Israel adalah semakin tinggi di seluruh dunia dan ramai pihak yang mengesyorkannya melalui media sosial.
"Idea dan promosi memboikot ini disalur dengan berkesan sehingga memberi kegelisahan kepada Israel dan perkara ini patut dilipatgandakan lagi," katanya.

Dilaporkan ratusan orang termasuk kanak-kanak di Gaza telah terbunuh dan cedera ekoran serangan udara Israel yang dilancarkan sejak minggu lepas yang telah memusnahkan rumah, sekolah, hospital dan masjid.

- BERNAMA sumber

No comments: