Wednesday, July 23, 2014

INDONESIA - Jokowi Presiden Baru


Foto Jokowi (tengah) dan gandingannya Jusuf Kalla (kiri ) meraikan kejayaan bersama pengerusi Megawati Sukarnoputri (kanan) di Jakarta, semalam.

Jakarta: Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi disahkan presiden baharu Indonesia semalam, di sebalik dakwaan oleh lawannya bahawa proses pilihan raya itu sebagai tidak demokratik dan tidak disiasat secara mendalam.

Keputusan rasmi menunjukkan Jokowi memperoleh 53 peratus undian berbanding pencabarnya, Prabowo Subianto 47 peratus.
“Saya mahu mengisytiharkan bahawa kami, parti yang menyokong dan mencalonkan Joko Widodo dan Jusuf Kalla (bagi naib presiden), sudah menang,” kata pengerusi Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) Megawati Sukarnoputri pada sidang media.

Keputusan itu mencatatkan peningkatan mengagumkan Jokowi yang dibesarkan di kawasan setinggan di Jawa, merendah diri dan dianggap orang luar dalam arena politik yang sekian lama dikuasai dinasti elit sejak zaman Suharto.

Jokowi, bekas pengeksport perabot, menjadi popular apabila dilantik sebagai Gabenor Jakarta pada 2012 berikutan kejayaannya sebagai Datuk Bandar Solo.

Pendekatan mesranya ternyata popular di kalangan rakyat yang bosan dengan ahli politik yang rasuah dan enggan bercampur dengan masyarakat.

Beliau kerap melawat kawasan setinggan di Jakarta, yang mempunyai kira-kira 10 juta penduduk, dengan berpakaian kasual dan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pegawai bagi memastikan mereka menjalankan tugas.

Jokowi amal sikap rendah diri

Di sebalik bebanan tugas, bapa kepada tiga anak itu masih mempunyai masa untuk menikmati minatnya kepada muzik ‘heavy metal’ dan kadang-kadang kelihatan di konsert di Jakarta.

Sikap rendah diri Jokowi bertentangan dengan dinasti politik dan tokoh bekas tentera ketika zaman Suharto yang menguasai politik Indonesia sejak berakhirnya pemerintahan bekas diktator itu pada 1998.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyoni ialah bekas jeneral dan Prabowo ialah bekas tokoh atasan tentera ketika Suharto yang mengaku menculik aktivis demokrasi.

“Ini sesuatu yang baharu bagi rakyat Indonesia, untuk memiliki pemimpin yang juga tokoh bawah,” kata penganalisis Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa beribu pejabat di Jakarta, Tobias Basuki.

Jokowi menamatkan program perhutanan di universiti Indonesia, memulakan perniagaan perabotnya sendiri dan kemudian memasuki politik pada 2005 sebagai Datuk Bandar Solo.

Beliau dipuji kerana mengubah bandar raya itu selama tujuh tahun memegang jawatan berkenaan, memindahkan penduduk setinggan ke rumah pangsa dan menempatkan semula beratus vendor di kaki lima ke pasar.

Sementara itu, Prabowo menarik pencalonannya selepas mengecam proses pilihan raya itu sebagai tidak demokratik, kata pegawai partinya semalam.

“Saya mengesahkan gandingan Prabowo-Hatta menarik diri daripada pilihan raya. Cuma ada seorang calon pada pilihan raya ini,” kata ahli perundangan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan juga anak saudara Prabowo, Aryo Djojohadikusumo, merujuk kepada calon naib presiden parti itu, Hatta Rajasa.

Tidak dapat dipastikan sama ada tindakan Prabowo menjejaskan pengumuman yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya lewat semalam mengenai keputusan pilihan raya pada 9 Julai lalu.

Menurut undang-undang pilihan raya, calon perlu bersetuju untuk tidak menarik diri sebagai menandatangani perjanjian untuk bertanding. Jika berbuat demikian, mereka berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda 50 bilion rupiah (RM13 juta). AFP/REUTERS sumber

No comments: