Thursday, July 24, 2014

Israel Terus Melakukan Jenayah Perang di PALESTIN


Foto Asap tebal menyelubungi Gaza selepas serangan udara tentera Israel, di wilayah itu.
Tentera Israel teruskan pengeboman di seluruh Gaza

GENEVA: Israel melakukan jenayah perang dengan membunuh orang awam dan membedil rumah serta hospital sepanjang dua minggu serangan ke atas Gaza, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Kemanusiaan, Navi Pillay.

Dengan menyebut beberapa kes serangan udara Israel dan pengeboman ke atas rumah dan hospital , beliau berkata: “Ia adalah beberapa contoh yang menjelaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa dilanggar, dalam keadaan yang boleh membawa kepada jenayah perang.

Forum hak asasi Geneva bersidang dalam sesi khas sehari atas permintaan Palestin, Mesir dan Pakistan. Israel yang mendakwa Majlis berkenaan sebagai berat sebelah memulaukan forum Geneva selama 20 bulan, meneruskan semula kerjasama Oktober lalu.

Sementara itu, kementerian kesihatan Gaza berkata seramai 18 penduduk Palestin terbunuh semalam, kebanyakan mereka penduduk Khan Younis yang menjadi sasaran serangan bertubi-tubi Israel.

Sejumlah 46 sekolah, 56 masjid dan tujuh hospital turut mengalami kerosakan.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan Associated Press mengenai kenapa serangan lebih menumpukan kepada Khan Younis, sebaliknya hanya mengatakan melakukan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.

Penduduk Palestin mendakwa Israel secara rambang mengerah kelengkapan senjata moden untuk menyerang 1.7 juta penduduk Gaza, menyebabkan jumlah kematian besar membabitkan penduduk awam dan memusnahkan sebahagian besar hartanah.

Setakat ini keganasan Israel membunuh lebih 650 penduduk Palestin di Gaza manakala 32 penduduk di Israel termasuk 29 askar dan tiga penduduk awam berjaya dibunuh pejuang Gaza.

Pegawai Gaza berkata setakat ini sepanjang 16 hari konflik sebanyak 475 rumah keseluruhannya musnah akibat bedilan Israel dan 2,644 rosak sebahagiannya. - Reuters sumber

No comments: