Wednesday, July 2, 2014

MALAYSIA - Kenyataan Kassim Ahmad Kufur, Murtad

Kuala Terengganu: Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebulat suara memutuskan kenyataan bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad pada satu seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas kali pertama jawatankuasa itu yang bersidang pada 9 Mac lalu.

‘Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian’ itu berlangsung di Putrajaya.

“Fahaman atau golongan itu adalah sesat, menyeleweng dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah mereka.

“Berdasarkan kepada ucapan yang disampaikan oleh Kassim, ada unsur penyelewengan antaranya mempertikaikan syahadah yang kedua, mengingkari dan mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum, mempertikaikan hukum rambut perempuan sebagai aurat, hukum selawat dan membenarkan jenayah murtad berlaku dalam masyarakat,” katanya dalam sidang media, semalam.

Sehubungan itu, jawatankuasa fatwa turut memutuskan apa jua fahaman yang berunsurkan penolakan hadis itu perlu disekat daripada berkembang.

Mohd Rozali berkata, sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan apa sahaja berhubung fahaman ini adalah diharamkan dan orang Islam dilarang memiliki, menyimpan mencetak, menjual atau mengedarkan semua bahan terbabit.
Bercanggah dengan syariat

“Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengikuti fahaman anti hadis ini dengan berselindung di sebalik aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur persefahaman anti hadis ini adalah dianggap mengamalkan fahaman yang bercanggah dengan syariat.

“Oleh yang demikian, orang ramai di negeri ini hendaklah menghindarkan diri daripada terbabit dengan fahaman golongan tersebut,” katanya.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju supaya keputusan berhubung fahaman anti hadis itu diwartakan untuk dijadikan fatwa yang mengikat bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kesalahan yang terbabit.   sumber

No comments: