Tuesday, July 22, 2014

MALAYSIA: Kereta api bawa mayat mangsa tragedi MH17 dalam perjalanan ke Kharkiv

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kereta api yang membawa mayat mereka yang maut dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 telah memulakan perjalanannya ke bandar Kharkiv melalui Donetsk di timur Ukraine.
Ini berdasarkan kenyataan dalam laman sesawang rasmi Presiden Ukraine Petro Poroshenko.
"Presiden memerintahkan angkatan bersenjata mengambil semua langkah perlu untuk menjamin keselamatan kereta api itu sehingga tiba ke destinasinya," kata kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, enam anggota pasukan khas Malaysia akan menyertai perjalanan kereta api itu.
Beliau membayangkan bahawa dari Kharkiv, 282 mayat berkenaan akan diserahkan kepada wakil dari Belanda dan kemudian dibawa ke Amasterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda, bersama pasukan Malaysia itu.
Terletak di timur laut Ukraine, Kharkiv adalah bandar kedua terbesar negara itu.
Pesawat Boeing 777 MAS bersama 298 orang penumpang dan anak kapal itu sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh pada Khamis di wilayah Donetsk, di timur Ukraine. - BERNAMA

No comments: