Friday, July 18, 2014

MALAYSIA - Ribuan Berdemo Anti Israel


KUALA LUMPUR: Ribuan umat Islam hari ini berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman sekutunya rejim Zionis Israel yang sedang meratah nyawa rakyat Palestin khususnya di Gaza.

Himpunan anjuran Pemuda PAS Malaysia bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam itu bermula di sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan Masjid As-Syakirin, KLCC sebelum berarak ke bangunan kedutaan.

Rata-rata mereka membawa kain rentang dan plakad mengutuk kekejaman tentera rejim yang membunuh rakyat Palestin tanpa perikemanusiaan.
Mereka turut berarak sambil menjunjung bendera Palestin bersaiz besar.
Antara mereka yang hadir adalah Naib Presiden PAS, Datuk Tuanb Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Abd Samad dan juga Dr Riduan Mohd Nor.

Tuan Ibrahim ketika ucapannya memberitahu keganasan yang berlaku di Gaza adalah kerana sokongan yang diberikan Amerika kepada Israel.

Jelasnya, Israel tidak akan berani bertindak sedemikian rupa jika tidak ada kuasa besar dunia yang berada dibelakang sambil memberi bantuan senjata kepada negara zionis itu.

"Kita mohon Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) campur tangan dalam isu keganasan ini dan jika gagal Setiausaha Agung PBB digesa meletakkan jawatan dengan segera.

"Kita juga meminta seluruh dunai menghantar bantuan kepada penduduk Palestin agar Israel takut serta menghentikan kezaliman yang dilakukannya," ucapnya.

Beliau bersama wakil MAPIM dan IKRAM telah masuk menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika melalui Ketua Keselamatan Kedutaan.

"Saya yakin apa yang kita tuntut itu tidak akan dipenuhi oleh kuasa besar (Amerika) dalam desakan menghentikan keganasan.

"Tetapi kita akan terus memberi sokongan dan tekanan kepada Israel serta Amerika agar mereka akur pada desakan yang dilakukan ini, saya memohon semua pihak dapat bergerak bagi memberi sokongan sepenuhnya kepada Gaza," sambung beliau lagi.

Serangan tentera rejim Zionis ke atas Gaza masuk hari ke-12 hari ini di mana mereka mula melakukan serangan darat di samping serangan udara dan laut.

Israel mengerahkan 56,000 tentera darat mereka, lengkap dengan senjata berat menyerang Gaza bermula petang semalam.

Sehingga kini jumlah gugur syahid di Gaza mencecah 240 orang manakala 1770 lagi cedera.

Majoriti mereka adalah orang awam terdiri daripada orang tua, wanita dan kanak-kanak. - sumber

No comments: