Monday, July 21, 2014

Mengapa MALAYSIA Masih jadi Rakan Dagang Israel?

Gaza: Kenapa kerajaan masih jadi rakan dagang Israel?

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kenapa Kerajaan Barisan Nasional masih lagi menjadi rakan dagang utama Israel, sebagai rakan dagang ke-15 terbesar pada tahun 2010.

Demikan ditegaskan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Dr. Michael Jeyakumar Devaraj (Sungai Siput), Wong Chen (Kelana Jaya) dan Charles Santiago (Klang) dalam kenyataan bersama.

Justeru, mereka menggesa Najib mencontohi Chile dengan memutuskan kesemua hubungan perdagangan dengan Israel di samping menjelaskan bagaimana.

Berikut kenyataan penuh mereka.

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Michael Froman dijangka akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Sebagai Ahli Kokus Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik, kami telah diminta untuk berbincang dengan Froman untuk membincangkan perjanjian tersebut dan perkara-perkara berkait.

Pada masa yang sama, kami berasa amat kecewa dengan keganasan yang berlaku kepada rakyat Palestin di Gaza oleh rejim Zionis Israel pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Lebih mengejutkan lagi, Presiden Obama telah secara jelas menunjukkan sokongan kepada Israel dalam Majlis Iftar di White House pada 14 Julai yang lepas dengan memberikan Ron Dermer, Duta Israel ke Amerika Syarikat peluang untuk berucap dalam majlis tersebut.

Ini diteruskan lagi apabila Obama berucap mempertahankan “hak” Israel untuk “mempertahankan diri” walaupun pada ketika ini lebih daripada 70 peratus daripada kematian yang berlaku di Gaza adalah terdiri daripada wanita dan kanak-kanak menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ingatan Obama buat Netanyahu untuk bertahan dalam mempertahankan diri sedang Israel membedil Gaza jelas mempamerkan ketidakpedulian beliau dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua di wilayah tersebut.

Sehingga kini, tentera Israel telah membunuh lebih daripada 400 nyawa dan mencederakan lebih 2800. Serangan Israel termasuk 2,602 serangan udara, dengan sejumlah 649 bangunan di bom.

Kira-kira 70 peratus dari Gaza terputus bekalan elektrik, mangsa-mangsa tidak mendapat bekalan air, makanan dan perlindungan yang mencukupi. Dan sedang kita membicarakan isu ini, jumlah mangsa kian meningkat.

Adalah penting untuk kita ingat bahawa sebelum daripada serangan ini, 57 peratus daripada Gaza tidak mempunyai makanan yang mencukupi sementara 80 peratus daripada populasi Gaza bergantung kepada bantuan kewangan. Lebih daripada 90 peratus daripada air di wilayah tersebut tidak selamat untuk diminum.

Rakyat Palestin telah lama menderita akibat pengasingan politik ini, sekarang sedang dibunuh tanpa sebarang kutukan daripada Amerika Syarikat.

Israel tidak mungkin mampu untuk melakukan keganasan ini dan keganasan-keganasan lepas di Gaza sekiranya Amerika Syarikat mengambil posisi yang tegas untuk memastikan keamanan dan keselamatan rakyat Palestin.

Amerika Syarikat bersubahat atas kesengsaraan rakyat Palestin dengan tidak mengambil tindakan dan juga sebagai pembekal utama senjata bagi Israel.

Sehingga kini, Israel telah mencabul sebanyak 79 resolusi PBB yang diluluskan di antara 1948 dan 2009. Walaupun Amerika Syarikat merupakan rakan dagang utama Israel, AS telah gagal untuk mengambil sebarang tindakan punitif ataupun menggantung perdagangan dengan rejim zionis tersebut.

Dengan itu, kami, Ahli Kokus TPPA daripada Pakatan Rakyat akan menggantung sebarang perbincangan dengan sebarang wakil daripada Amerika Syarikat sehingga diberitahu kelak.

Kami juga menyeru Ahli Parlimen Malaysia yang lain untuk mendengar hati nurani mereka dan turut mengambil pendirian yang sama.

Kami menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia untuk menggantung sebarang perbincangan berkenaan TPPA dengan AS sehingga kerajaan AS mengambil tindakan untuk mengutuk dan menghentikan keganasan rejim Zionis ke atas Gaza.

Kami juga menggesa Najib untuk mencontohi Chile dengan memutuskan kesemua hubungan perdagangan dengan Israel.

Kami juga menuntut agar Perdana Menteri menjelaskan kenapa kerajaan Barisan Nasional masih lagi menjadi rakan dagang utama Israel, sebagai rakan dagang ke-15 terbesar pada tahun 2010. -sumber

No comments: