Friday, July 18, 2014

MH17 - Pemimpin Dunia Terkejut

KUALA LUMPUR: Pemimpin dunia melahirkan rasa terkejut dengan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dilaporkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Russia, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam tweetnya berkata: "Saya terkejut dengan laporan bahawa pesawat MH terhempas. Kami akan mengadakan siasatan segera."

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyifatkan kejadian itu sebagai "tragedi yang dahsyat" dan Amerika menawarkan apa jua bantuan yang perlu bagi membantu menentukan apa sebenarnya yang berlaku dan kenapa.

Najib berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh. Pesawat itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melahirkan rasa terkejut dan berkata beliau sedih apabila mendapat perkhabaran mengenai tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines.

Dalam catatan Facebook beliau, Lee berkata: "Doa dan harapan kami bersama penumpang dan anak kapal, serta keluarga mereka."

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin menyampaikan ucapan takziah kepada Najib berhubung tragedi itu.
Dalam laman web rasmi, http://eng.kremlin.ru, berkata "Presiden Russia meminta Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan ucapan takziah dan sokongan beliau kepada keluarga mangsa."

Laporan agensi berita Reuters memetik Perdana Menteri Belanda Mark Rutte sebagai berkata beliau terkejut dengan kejadian itu.

"Saya benar-benar terkejut dengan laporan dramatik pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas," kata beliau sambil berkata beliau telah menghubungi Presiden Ukraine, Petro Poroshenko.

Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airline Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 pagi (waktu Amsterdam) pada Khamis ke Kuala Lumpur itu dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi waktu Malaysia hari ini. - BERNAMA sumber

No comments: