Tentera bom kubu Taliban Rakyat Pakistan melarikan diri dari kawasan operasi tentera terhadap Taliban di Utara Waziristan dengan membawa barang menggunakan kereta sorong. - Foto AFP
 
Peshawar: Lebih 800,000 penduduk melarikan diri daripada serangan tentera besar-besaran terhadap Taliban di sebuah kawasan puak Pakistan, kata pihak berkuasa semalam.

Berpuluh ribu keluarga meninggalkan kawasan puak Utara Waziristan ke bandar berhampiran Bannu.
Beratus-ratus lagi berpindah lebih jauh hingga ke bandar Lakki Marwat, Karak dan Dera Ismail Khan sejak serangan bermula pada pertengahan Jun.

Pegawai dari Pihak berkuasa Pengurusan Bencana FATA (FDMA) berkata mereka memeriksa sekiranya ada pertindihan pendaftaran yang akan mengurangkan angka berkenaan.

Pihak berkuasa tentera menggunakan kereta kebal dan pesawat di Utara Waziristan dan berikrar untuk menghapuskan kubu kuat yang digunakan pemisah untuk melancarkan serangan maut sejak beberapa tahun lalu.


Penduduk pindah
“Kira-kira 833,274 penduduk atau 66,726 keluarga berpindah dari Utara Waziristan berdaftar di bandar seperti Bannu dan Peshawar sehingga petang Selasa,”kata ketua pengarah FDMA, Arshad Khan kepada AFP.

Khan berkata sejumlah 361,459 adalah kanak-kanak dan 248,633 adalah wanita.


Serangan jet

Tentera berkata, jet turut melakukan pengeboman kelmarin dan memusnahkan tujuh tempat persembunyian pemisah di kampung Degan, kubu kuat militan Taliban, membunuh sekurang-kurangnya 13 pemisah.

Sehingga kini, 399 militan dan 20 askar terbunuh dalam serangan berkenaan, kata tentera.

Bagaimanapun wartawan dihalang ke kawasan itu menjadikan sukar untuk mengesahkan dakwaan tentera mengenai bilangan dan identiti mereka yang terbunuh.

Serangan dilancarkan pada 15 Jun selepas satu serangan dramatik di lapangan terbang Karachi bulan lalu membunuh berpuluh orang dan mengakhiri proses rundingan damai Taliban Pakistan.

Kawasan pergunungan berkenaan menjadi tempat persembunyian militan Islam sejak beberapa tahun, termasuk Al-Qaeda dan tempat asal Tehreek-e-Taliban Pakistan selain pejuang asing seperti Uzbek dan Uighur. - AFP sumber