Tuesday, July 22, 2014

PALESTIN: PBB gesa Hamas-Israel laksana gencatan senjata

GAZA CITY 21 Julai - Selepas 14 hari membisu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akhirnya membuka mulut untuk menggesa gencatan senjata dilaksanakan antara Hamas dan Israel ketika angka korban penduduk awam di Gaza terus meningkat kepada 508 orang dan 3,150 orang lagi cedera.
Wakil Tetap PBB dari Rwanda, Eugene Richard Gasana yang mempengerusikan sidang tersebut berkata, gesaan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar semalam ekoran kebimbangan terhadap jumlah kematian yang semakin meningkat akibat konflik di Gaza.
"Semua 15 anggota majlis menggesa pertempuran dihentikan dengan segera dan gencatan senjata dilaksanakan," katanya.
Rundingan gencatan senjata antara pemimpin Hamas, Khaled Meshaal dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Qatar dijangka berlangsung hari ini selepas tertangguh selama sehari.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut berada di Doha bagi bertemu dengan kedua-dua pihak terlibat untuk mencari jalan penyelesaian konflik di rantau terbabit.
Bagaimanapun wakil Palestin, Ryan Mansour menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan PBB untuk mengambil pendirian kuat dan mengambil langkah yang lebih tegas bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis.
"Majlis Keselamatan PBB sekali lagi gagal menggalas tanggungjawab mereka," katanya. - AFP

No comments: