Thursday, July 3, 2014

PALESTIN - Remaja Muslim Dicolek dan Dibunuh

Baitulmaqdis: Remaja Palestin dari Baitulmaqdis Timur diculik dan dibunuh awal semalam dalam tindakan yang disyaki sebagai membalas dendam pembunuhan tiga belia Israel, lapor radio tentera. 

Pembunuhan itu mencetuskan arus pertempuran di Baitulmaqdis Timur yang menyaksikan kira-kira 200 pemuda Palestin yang berang membaling batu ke arah polis, yang bertindak balas dengan bom bunyi dan peluru getah.

Memetik kenyataan saksi, radio melaporkan belia berkenaan dilihat dipaksa memasuki kereta di wilayah Arab di bandar raya itu. 

Mayat ditemui tidak lama kemudian di bahagian lain bandar raya itu, menurut radio, menyifatkan ia disyaki sebagai serangan balas dendam terhadap penculikan tiga remaja Israel dari selatan Tebing Barat 12 Jun lalu. 

Salahkan Hamas 

Israel menyalahkan Hamas di atas pembunuhan mereka dalam kejadian yang mengejutkan wilayah itu, yang mencetuskan gesaan membalas dendam. 

Beberapa jam selepas mereka dikebumikan kelmarin, 200 penduduk Israel bertindak ganas di Baitulmaqdis, menghentikan kereta dan sistem aliran ringan serta menjerit Mati Arab, kata polis dan saksi. Polis berkata, 47 ditahan. 
Jurucakap polis, Luba Samri, mengesahkan mereka menyiasat laporan penculikan dan berkata menemui mayat tetapi enggan memberitahu sama ada kedua-dua kejadian itu berkaitan. 

Pada awal pagi semalam, polis menerima laporan seseorang dipaksa menaiki kereta di Beit Hanina. Dalam masa sejam, mayat ditemui di Baitulmaqdis tetapi identiti masih belum dikenal pasti. Kami masih meneliti jika ada kaitan antara kedua-dua kejadian, kata Samri. 

Memetik kenyataan saksi, radio tentera melaporkan sebuah kereta hitam berhenti di sebelah remaja yang menahan kereta kerana mahu menumpang dan dipaksa memasukinya. Kereta itu kemudian berlalu. AFP sumber

No comments: