Wednesday, July 16, 2014

PALESTIN - Roket Gaza Bunuh Warga Israel, 4 Cedera

BAITULMAQDIS: Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza hari ini selepas Hamas menolak tawaran gencatan senjata dengan menembak berpuluh roket di sempadan menyebabkan seorang penduduk Yahudi terbunuh buat pertama kali.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran askarnya akan 'memperluas dan menggandakan' lagi serangannya udaranya ke atas Gaza selepas Hamas menolak pelan peletakan senjata yang disyorkan Mesir.

Kempen serangan Israel yang disambung semula itu menyebabkan dua penduduk Gaza terbunuh, menjadikan jumlah angka korban yang memasuki hari kelapan meningkat kepada 194, demikian menurut pegawai perubatan.

Penduduk Israel berkenaan maut dalam serangan roket di kawasan Israel berdekatan laluan sempadan Erez, demikian menurut tentera.

Briged Ezzedine al-Qassam Hamas mendakwa mereka bertanggungjawab menjalankan serangan di pintu sempadan Israel-Gaza itu.

Penduduk awam Israel berusia 38 tahun yang mati itu dikatakan sedang mengagihkan makanan kepada askar negara itu yang sedang bertugas di kawasan sempadan berkenaan, demikian lapor jurucakap Perkhidmatan Perubatan Israel.

Ia adalah kematian pertama di sebelah Israel selepas lebih 1,000 roket dan mortar dilepaskan ke arah kawasan penduduk Yahudi itu. Laporan juga menyebut empat penduduk Yahudi cedera parah.

Awal semalam, Kabinet Israel bersetuju untuk menerima cadangan Mesir mewujudkan gencatan senjata namun Hamas mendakwa pihaknya tidak dirujuk dan menolak pelan berkenaan.

Hamas juga enggan menghentikan serangannya terhadap Israel tanpa ada perjanjian menyeluruh yang jelas.

Sayap bersenjata pergerakan itu menyambung semula tembakan ke arah Israel selepas tempoh tamat syor gencatan jam 6 petang waktu tempatan.

Selepas jam 12 tengah malam pula, tentera Israel pula mengumumkan pihaknya menyambung semula serangan udara selepas mendakwa pejuang Hamas melepaskan 47 roket dari arah Gaza ke kawasannya. - AFP sumber

No comments: