Wednesday, July 23, 2014

PALESTIN: Zionis Israel bom lima buah masjid

SALAH sebuah daripada lima masjid di Gaza yang musnah dalam serangan tentera udara Israel, semalam.
 
GAZA CITY 22 Julai - Israel mengebom lima buah masjid, sebuah stadium sukan dan rumah bekas ketua tentera Hamas di Genting Gaza dalam serangan udara, awal hari ini.
Jurucakap polis Gaza, Ayman Batniji berkata, serangan udara Israel menyasarkan 70 sasaran di Genting Gaza termasuk rumah bekas ketua sayap tentera Hamas.
"Beberapa buah rumah turut rosak berdekatan sempadan Israel akibat serangan kereta kebal dan sekurang-kurangnya 19 bot nelayan dibakar dalam serangan tentera laut di Laut Mediterranean,'' katanya.

Seorang kanak-kanak Palestin cedera dalam serangan Israel di Gaza, kelmarin. - AGENSI
 
Beliau berkata, serangan bertubi-tubi itu mencetuskan letupan besar sehingga udara di Gaza City berwarna jingga.
Sebuah bangunan enam tingkat turut runtuh dalam serangan udara berkenaan.
Pemilik syarikat pembinaan, Ehad Batch, 40, berkata, beliau dan pekerjanya kini cuba mendapatkan dokumen daripada bangunan perniagaan tersebut yang runtuh.
"Saya tiada pekerjaan sejak tahun lepas ekoran Mesir menghalang terowong di sempadan Rafah yang membolehkan bahan binaan dibawa masuk ke dalam Gaza,'' katanya.
Serangan bertubi-tubi itu dilancarkan Israel ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry bertemu di Kaherah, Mesir untuk menjayakan gencatan senjata antara Israel-Hamas. - AGENSI
 

No comments: