Friday, July 25, 2014

Selatan THAILAND - 3 Maut, 36 Cedera


Foto ANGGOTA penyelamat Thai memadamkan kebakaran akibat letupan bom di hadapan sebuah hotel di daerah Betong, selatan Thailand, petang tadi. Letupan bom kereta itu meragut tiga nyawa dan mencederakan 36 yang lain. - Foto AFP

HATYAI: Sekurang-kurangnya tiga terbunuh manakala 36 cedera termasuk tiga parah susulan letupan bom kereta di daerah komersial Betong di selatan Thailand, yang bersempadan dengan Pengkalan Hulu, Gerik, petang tadi.

Leftenan Kolonel Sophon Saisuree berkata bom kereta berkenaan meletup di depan Hotel Holiday pada jam 4 petang (waktu tempatan).

Letupan berkenaan turut memusnahkan beberapa kenderaan lain dan merosakkan struktur bangunan.

Sumber berkata, bom pada kenderaan itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh oleh pihak yang bertanggungjawab.

Betong yang terletak dalam Wilayah Yala, antara bandar dikunjungi rakyat negara ini, namun sehingga kini tiada maklumat terdapat rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kejadian itu.

Sementara itu, seorang pekerja di sebuah hotel berhampiran mendakwa terdengar letupan kuat menggegarkan bandar itu.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Syarifuddin Yusof, ketika dihubungi mengesahkan kejadian letupan itu. sumber

No comments: