Tuesday, July 22, 2014

TURKI Berkabung 3 Hari untuk Gaza

ISTANBUL: Turki mengisytiharkan berkabung selama tiga hari mulai hari ini berikutan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh Israel di Semenanjung Gaza.

Ketika mengumumkan keputusan Kabinet itu menerusi televsiyen, Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc berkata, “Turki menganggap serangan Israel ke atas Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai dan mengutuknya.”
“Sebagai menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin, kami mengisytiharkan hari berkabung selama tiga hari mulai Selasa,” katanya.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan juga menyifatkan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin itu sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Beliau juga menimbulkan kemarahan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat dengan menyamakan mentaliti sesetengah pihak di negara Yahudi itu dengan Adolf Hitler.

“Turki mengekalkan prinsipnya terhadap serangan Israel. Ia menegakkan keadilan pihak yang benar, bukan yang berkuasa,” kata Arinc.

“Kami menyokong gencatan senjata, tapi Israel kena hentikan tindakan bersendirian yang boleh dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menyedari bahawa keselamatan nasional hanya boleh dipulihkan menerusi keamanan adil,” tegasnya.
Turki memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan perhubungan direnggangkan sejak berlaku serangan komando Israel terhadap kapal aktivis Turki pada 2010 yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza. - AFP sumber

No comments: