Wednesday, August 6, 2014

Ahli Parlimen BRITAIN Desak Israel Cabut Sekatan

LONDON: Sekumpulan ahli Parlimen Britain semalam dengan tegasnya menolak kewajaran Israel untuk mengenakan sekatan terhadap pembangunan ekonomi di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT) atas alasan keselamatan.

Pandangan ahli parlimen Britain itu terkandung di dalam kertas laporan Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa, yang juga melahirkan kebimbangan khusus mengenai situasi di Hebron, bandaraya Palestin di selatan Tebing Barat.

 “Kami terkejut dengan apa yang kami lihat dalam lawatan ke Hebron. Walaupun kami memahami kebimbangan keselamatan Israel, adalah tidak wajar sama sekali baginya mengenakan sekatan ke atas rakyat Palestin di Hebron, yang menjejaskan kehidupan mereka, pembangunan ekonomi dan keselamatan,” kata laporan itu.

Kumpulan berkenaan, yang memantau kementerian kerajaan mengenai pembangunan antarabangsa, menggesa London dan Eropah supaya bangkit membantah sekatan yang menghalang pembangunan ekonomi di wilayah berkenaan dengan serta-merta.

Gesaan itu dibuat sehari selepas seorang menteri, Sayeeda Warsi meletak jawatan bagi membantah apa yang disifatkannya sebagai kegagalan kerajaan untuk mengutuk tindakan Israel membunuh orang awam di Gaza.

Penarikan balik sekatan lapan tahun di Gaza itu adalah juga tuntutan utama Hamas bagi proses perdamaian.

Namun sekatan di Tebing Barat khususnya, seperti halangan kepada perniagaan Palestin daripada melabur di zon yang dikuasai Israel, sepatutnya dibantah oleh Britain dan negara Eropah lain, menurut laporan berkenaan.
Ia menambah, isu seperti bekalan air dan permit binaan seharusnya juga ditangani walaupun wujudnya konflik berkenaan, yang mengorbankan 1,875 rakyat Palestin termasuk 430 kanak-kanak, 64 askar Israel dan tiga orang awam di negara Yahudi itu.

Jawatankuasa berkenaan berkata ia amat bimbang dengan keadaan di mana Israel memperluaskan kawasan pendudukannya dan menegaskan bahawa Britain dan negara Eropah seharusnya menekankan kepada pihak berkuasa di Israel situasi yang tidak boleh diterima itu.

Kerajaan Britain juga seharusnya meneliti garis panduan mengenai label barangan yang dikeluarkan di kawasan pendudukan Israel bagi menentukan sama ada ia dipatuhi oleh peniaga, agar konsumer dapat elak daripada membelinya, kata laporan itu. - AFP. sumber

No comments: