Monday, August 11, 2014

IRAQ - Pesawat Tempur As Serang ISIS

Jet Amerika bedil lokasi IS  
Anggota tentera Kurdish memerhatikan asap dari bandar Makhmur ketika pertempuran dengan IS, kelmarin. - Foto REUTERS
 
Washington: Jet pejuang dan ‘drone’ Amerika Syarikat (AS) membedil kawasan Negara Islam (IS) berhampiran Arbil di Iraq, dalam siri serangan terbaharu semalam yang memusnahkan trak bersenjata dan pasukan mortar, demikian menurut tentera AS.

Pusat Kawalan Tentera AS (CENTCOM) berkata lima bedilan dilancarkan dari jam 0615 GMT, yang memusnahkan kenderaan bersenjata yang sedang menembak tentera Kurdish di pinggir Arbil, utara Iraq.
 
Tentera AS juga mengesan sebuah lagi trak bersenjata IS yang bergerak dari kawasan itu dan turut memusnahkannya, kata CENTCOM.

Musnah kedudukan

Dalam serangan jam 0740 GMT pula, tentera AS memusnahkan kedudukan pasukan mortar serta trak.

Ia adalah serangan udara hari ketiga oleh AS untuk menekat kemaraan militan di Arbil, ibu negara wilayah Kurdish Iraq.

Sementara itu di Baghdad, Reuters melaporkan militan IS telah membunuh sekurang-kurangnya 500 puak minoriti Yazidi Iraq, menanam hidup-hidup sebahagian mereka dan menjadikan beratus-ratus wanita sebagai hamba, kata Menteri Hak Asasi Manusia Iraq, Mohammed Shia al-Sudani.

Lari dari Sinjar

Beliau yang dihubungi melalui telefon berkata perkara mengenai pembunuhan itu datangnya dari mereka yang lari dari bandar Sinjar, kawasan penempatan lama puak Yazidi.

“Kami mempunyai bukti yang diperoleh daripada puak Yazidi yang lari dari Sinjar dan sebahagian yang terselamat dari maut, serta imej kejadian jenayah yang menunjukkan bahawa kumpulan IS membunuh sekurang-kurangnya 500 puak Yazidi selepas menawan Sinjar,” katanya.

“Sebahagian daripada mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak ditanam hidup-hidup beramai-ramai di beberapa tempat dan sekitar Sinjar.” AFP/REUTERS sumber

No comments: