Monday, August 4, 2014

PALESTIN - Lagi Sekolah PBB Dibedil, 10 Terkorban


Foto Suasana kelam-kabut ketika orang ramai membantu mangsa yang cedera dan terbunuh di sekolah yang dibedil tentera Zionis semalam.

RAFAH: Tentera Israel membedil sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadikan tempat perlindungan penduduk Palestin di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza.

Pegawai kesihatan Gaza, Ashraf al-Kidra, berkata sekurang-kurangnya 10 terkorban dan 35 lagi cedera selepas serangan itu.

 Pengarah operasi agensi pelarian Palestin PBB di Gaza, Robert Turner, pula berkata siasatan awal menunjukkan letupan berpunca daripada serangan udara rejim Zionis berhampiran sekolah itu, yang menempatkan kira-kira 3,000 penduduk.

Katanya, sekurang-kurangnya seorang kakitangan PBB dikhuatiri maut.

“Kami belum mengesahkan butiran lanjut tetapi laporan awal menyatakan ada beberapa serangan udara di jalan raya di luar salah satu pusat perlindungan kami,” kata Turner.

Saksi berkata, serangan berlaku ketika penduduk berbaris menunggu bekalan makanan. Tentera Israel tidak memberikan sebarang komen.

Dalam suasana kecoh di dalam bangunan itu, beberapa mayat, di antaranya kanak-kanak, bergelimpangan dalam keadaan yang berlumuran darah. Kesan tapak kaki berlumuran darah kelihatan di atas lantai apabila orang ramai bergegas membawa mangsa yang cedera menaiki ambulans.
“Kepercayaan dan nasib kami di tangan Tuhan!” kata seorang wanita sambil menangis.

Sebahagian yang cedera, di antaranya kanak-kanak dengan kepala berbalut, dipindahkan ke hospital Kuwait di Rafah dan yang lain dirawat dalam klinik sementara.

Beberapa mayat, yang sudah dikafankan, disusun di atas lantai.

Sekurang-kurangnya enam kemudahan PBB, termasuk sekolah yang menempatkan penduduk tidak berumah, diserang Israel sejak konflik bermula, mengundang kritikan antarabangsa. Dalam setiap kes, Israel mendakwa ia bertindak balas kepada pejuang yang melancarkan roket atau serangan lain berhampiran.

Rejim Zionis terus menggempur wilayah dikuasai Hamas walaupun menunjukkan tanda kemungkinan mengurangkan aktiviti ketenteraan dalam pertempuran selama 27 hari itu.

Lebih 1,700 penduduk Palestin, sebahagian besarnya orang awam terkorban selain hampir 70 penduduk Israel, hampir semuanya anggota tentera, dalam pertempuran yang hampir menjangkau empat minggu.

Israel melancarkan kempen udara di Gaza pada 8 Julai lalu untuk menghentikan bedilan roket pejuang Palestin di bandar raya utama di wilayah itu dan kemudian menghantar tentera memusnahkan terowong bersistem canggih yang dibina pejuang Hamas untuk melancarkan serangan.

Rejim menyerang beberapa sasaran di Gaza semalam. Peluru artileri mengena dua bangunan pejabat di Bandaraya Gaza dan letupan besar kedengaran beberapa saat kemudian, kata polis dan saksi.

Al-Kidra berkata 30 penduduk Palestin maut semalam, termasuk sembilan dalam satu serangan di selatan Semenanjung Gaza. Israel melancarkan 180 serangan semalam.

Ketika pertempuran berlanjutan, beberapa kereta kebal Israel dan kenderaan lain dilihat meninggalkan Gaza. Dalam ucapan lewat kelmarin, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata tentera akan menilai semula operasi selepas selesai memusnahkan terowong Hamas. – AP sumber

No comments: