Friday, September 12, 2014

AMERIKA SYARIKAT: Obama arah perang habis-habisan ke atas IS


REKRUT wanita Kurdish mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di sebuah pangkalan berhampiran bandar Sulaimaniya di utara Iraq, kelmarin. - AFP
WASHINGTON 11 Sept. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, semalam mengarahkan perang ‘habis-habisan’ ke atas kumpulan Negara Islam (IS) termasuk serangan udara di Syria dan memperluaskan operasi ketenteraan di Iraq bagi ‘menghancurkan’ kumpulan militan itu.
Obama yang mahu mencatat sejarah sebagai Presiden yang menamatkan perang, pada masa sama turut berikrar untuk memperkuat tentera Iraq dan menambah bantuan ketenteraan kepada kumpulan penentang di Syria.
Dalam ucapannya yang disiarkan di stesen televisyen negara ini, Obama berkata, IS yang membunuh dua wartawan AS dan merampas sebahagian besar kawasan di Iraq dan Syria adalah sebuah kumpulan yang kejam dan unik yang mengakibatkan Asia Barat ‘bermandi darah’.
"Mereka membunuh tahanan perang, kanak-kanak dan menjadikan hamba serta merogol dan memaksa wanita supaya berkahwin dengan mereka,’’ dakwanya, sambil menambah, kekejaman itu hanya mendorong kepada satu tindak balas.
Obama berkata, objektif Amerika adalah jelas: "Kami akan menumpaskan dan terus memusnahkan sepenuhnya IS menerusi satu strategi antikeganasan yang komprehensif dan tegas.
"Saya tidak teragak-agak untuk bertindak ke atas IS di Syria dan juga Iraq. Ia merupakan satu prinsip utama semasa saya menjadi Presiden.
"Jika anda mengancam Amerika, anda akan mendapati tiada tempat yang selamat (buat anda),’’ katanya.
Sementara itu, seorang pegawai kanan AS tidak ragu-ragu berhubung kenyataan Obama itu, yang merupakan satu arahan tindakan ketenteraan di Syria, walaupun beliau sebelum ini enggan terlibat dalam perang saudara di negara itu.
"Akan ada tindakan (ketenteraan) di Syria,’’ kata pegawai itu, namun beliau enggan menyatakan bila serangan pertama itu akan dilancarkan. - AFP

Sumber

No comments: