Tuesday, September 23, 2014

IRAQ: IS seru bunuh warga Barat

Gambar fail bertarikh 30 Jun merakamkan anggota militan IS mengibarkan bendera kumpulan itu dari atas kereta kebal semasa menyertai perarakan di Raqqa, Syria. - AGENSI
 
BAGHDAD 22 Sept. - Kumpulan militan Negara Islam (IS) menyeru penyokong-penyokongnya supaya membunuh warga Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara yang menyertai pakatan yang diketuai AS untuk memerangi IS.
Jurucakap kumpulan militan itu, Abu Mohammed al-Adani, dalam satu pesanan yang dikeluarkan dalam pelbagai bahasa menerusi internet, hari ini menyeru penyokong-penyokong IS supaya membunuh warga negara-negara yang menyertai pakatan yang diketuai AS dengan apa sahaja cara.
"Anda boleh membunuh penduduk AS dan Eropah, terutamanya rakyat Perancis, Australia dan Kanada termasuk penduduk negara yang memeterai pakatan (dengan AS) untuk memerangi IS," kata Abu Mohammed.
Sebelum ini, AS dan Perancis melancarkan serangan udara ke atas militan IS, sementara AS merancang membentuk pakatan antarabangsa untuk memerangi kumpulan IS, yang dilihat menjadi ancaman antarabangsa.
Di Kaherah, IS menggesa penentang kerajaan di Semenanjung Sinai untuk meneruskan usaha menyerang pasukan keselamatan Mesir, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang hubungan antara kumpulan-kumpulan militan.
Pegawai-pegawai Mesir termasuk Menteri Luar mengakui menjalinkan kerjasama dengan dua kumpulan militan tetapi menyatakan tiada anggota IS di negara itu.
IS menawan kawasan di wilayah Iraq dan Syria serta mengisytiharkan kerajaan Khalifah.
Mesir berdepan kumpulan penentang kerajaan sejak tentera menyingkirkan Presiden Mohamed Mursi pada tahun lalu.
Semalam, sebutir bom meletup di luar bangunan Kementerian Luar Mesir yang dipercayai dilakukan oleh militan IS, mengorbankan tiga anggota polis termasuk saksi utama dalam perbicaraan kes Mursi. - AFP/REUTERS

Sumber

No comments: