Sunday, September 14, 2014

Jeneral Allen Ketuai Pakatan Serang IS

WASHINGTON: Jeneral Marin Bersara, John Allen yang juga bekas komander tentera Amerika Syarikat di Afghanistan, dilantik sebagai penyelaras usaha antarabangsa memerangi kumpulan Negara Islam (IS), umum Jabatan Negara.

"Dalam tugasan ini, Jeneral Allen akan membantu untuk mewujudkan, menyelaras dan meneruskan pakatan global dalam pelbagai usaha untuk melemah dan akhirnya menghancurkan ISIL," kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara, Marie Harf, merujuk kepada kumpulan sama yang menguasai sebahagian kawasan di Iraq dan Syria dengan kependekan lain.

Presiden Barack Obama, ketika mengumumkan strategi bagi menghancurkan kumpulan itu, berkata pengwujudan pakatan antarabangsa yang turut membabitkan negara Arab dan Islam amat penting bagi usaha memerangi IS.

Timbalan kepada Allen ialah Brett McGurk, iaitu Timbalan Penolong Setiausaha bagi Iraq dan Iran.
 
Allen memerintah tentera AS serta Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa di Afghanistan dari 2011 hingga 2013. Beliau juga memainkan peranan utama dalam tentera AS semasa perang Iraq. 
 
Pada lewat 2012 Presiden Barack Obama menamakan Allen sebagai Pemerintah Tertinggi NATO, satu daripada jawatan utama tentera AS.

Namun Allen menolak pelantikan itu dan bersara daripada perkhidmatan tentera pada Februari 2013.
- AFP sumber

No comments: