Tuesday, September 23, 2014

PM AUSTRALIA beri amaran militan IS akan dipenjara

SYDNEY 22 Sept. - Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, hari ini memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas ke atas rakyat negara ini yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Asia Barat, termasuk dipenjarakan, selepas mereka pulang ke Australia dalam usaha kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang antikeganasan.
Dalam satu kenyataan, Abbott berkata, rakyat Australia yang menyertai IS akan ditangkap, didakwa di mahkamah dan seterusnya dipenjara untuk satu tempoh yang panjang.
"Undang-undang kami diubah suai bagi menyenangkan usaha membanteras pengganas di dalam negara ini," kata Abbott selepas pihak berkuasa melancarkan serbuan terbesar ke atas lebih 30 buah rumah, Khamis lalu bagi memburu suspek militan IS.
Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan dalam serbuan itu atas dakwaan merancang operasi keganasan.
Kerajaan memaklumkan turut berjaya mematahkan rancangan anggota IS cuba mengatur demonstrasi ganas di sini.
"Seorang anggota kumpulan IS warga Australia mengarahkan pengikutnya menangkap penduduk bukan Islam untuk membuktikan mereka mampu membunuh orang kafir," kata beliau.
Abbott memaklumkan bahawa seramai 60 rakyat Australia didapati terbabit dalam pertempuran di Syria dan Iraq, manakala lebih 20 orang daripada mereka telah kembali ke negara ini, di samping 100 orang lagi dipercayai menyokong IS secara aktif.
Kerajaan Australia juga mengkaji sama ada sistem perundangan sedia ada memadai atau tidak untuk menangani ancaman IS dan dua usul berkaitan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen minggu ini untuk diluluskan.
Pendakwa raya, George Brandis sedang merangka usul bagi membolehkan agensi keselamatan diberi kuasa lebih bagi menangani ancaman anggota IS yang pulang daripada pertempuran di luar negara. - AFP

Sumber

No comments: