Tuesday, September 23, 2014

SYRIA: Kurdis sekat kemaraan IS

Penduduk Kurdis yang melarikan diri ekoran kemaraan kumpulan militan IS menunggu di pintu sempadan dekat bandar Suruc di Sanliurfa, Turki untuk memasuki negara itu. - REUTERS
 
BEIRUT 22 Sept. - Kumpulan pejuang etnik Kurdis hari ini mendakwa berjaya menghalang kemaraan kumpulan militan Negara Islam (IS) ke wilayah timur Syria yang bersempadan dengan Turki dan dikuasai puak tersebut.
Jurucakap kumpulan bersenjata Kurdis, YPG, Redur Xelil berkata, kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) berjaya dihalang di wilayah Kobani.
"Pertempuran masih berlangsung, namun kemaraan ISIS berjaya disekat sejak malam tadi,'' katanya.
Kobani yang juga dikenali sebagai Ayn al-Arab merupakan antara laluan utama ke wilayah timur Syria.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, IS gagal mara ke wilayah timur dalam tempoh 24 jam lalu.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus berkata, jumlah pelarian Kurdis memasuki negara itu kini mencecah 130,000 orang.
"Mereka memasuki sempadan Turki sejak Jumaat lalu,'' katanya.
Ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, lebih 150,000 penduduk etnik tersebut telah meninggalkan Kobani.
"Bandar Kobani kini tidak berpenghuni selepas lebih 150,000 penduduknya meninggalkan bandar berkenaan. Tidak semua penduduk berkenaan memasuki Turki,'' katanya.
Beliau berkata, Kobani kini dikepung oleh IS dari arah timur, barat dan selatan. - REUTERS/DPA

Sumber

No comments: