Thursday, October 30, 2014

BANGLADESH - Pemimpin Jemaat e Islami Dihukum Mati

DHAKA: Tribunal khas di Bangladesh menjatuhkan hukuman mati ke atas pemimpin parti Jamaat-e-Islami kerana peranannya mengakibatkan kematian beribu orang ketika peperangan menuntut kemerdekaan dengan Pakistan pada 1971.

Ketua panel yang mempunyai tiga anggota itu, M Enayetur Rahim, mengumumkan keputusan itu hari ini terhadap Motiur Rahman Nizami di sebuah mahkamah yang penuh sesak di sini.

Nizami, 71, berada di kandang tertuduh ketika keputusan tribunal itu dibacakan.

Beliau yang juga bekas menteri Kabinet, dibicarakan atas 16 tuduhan, termasuk pembunuhan beramai-ramai, penderaan, rogol dan pemusnahan harta benda.

Bangladesh mendakwa askar Pakistan yang dibantu penduduk tempatan bersubahat dengan membunuh kira-kira tiga juta orang, merogol 200,000 wanita dan memaksa kira-kira 10 juta orang supaya berlindung di kem pelarian di negara jiran, India dalam peperangan selama sembilan bulan itu. - AP sumber

No comments: