Friday, October 31, 2014

Parti Sekular Menguasai Pilihan Raya TUNISIA

TUNIS: Parti sekular Nida Tunis memperoleh lebih banyak kerusi dalam pilihan raya Parlimen Tunisia, Ahad lalu, mengatasi parti Islam Ennahda.

Suruhanjaya Pilihan Raya ISIE memberitahu satu sidang akhbar, Nida Tunis menang 85 daripada 217 kerusi Parlimen, diikuti Ennahda memperoleh 69 kerusi.

Bagaimanapun, tiada satu pun daripada dua parti berkenaan dijangka menang majoriti jelas, menyebabkan berlaku tawar-menawar antara ahli politik menjelang pengumuman penuh keputusan pilihan raya itu.
Ennahda adalah parti dominan dalam politik Tunisia sejak revolusi 2011, dipuji kerana menerima keputusan itu dengan tenang.

Ennahda, yang memimpin negara Afrika Utara itu berikutan revolusi berkenaan, mengucapkan tahniah kepada Nida Tunis kerana berjaya menjadi parti terbesar di Parlimen pertama yang dipilih selepas revolusi.
Parti itu menyeru ahlinya supaya meraikan demokrasi dan beratus-ratus penyokongnya berhimpun di pekarangan luar ibu pejabatnya di Tunis walaupun tidak menang besar dalam pilihan raya.

"Kami gembira kerana Ennahda mampu membawa Tunisia ke peringkat ini berikutan revolusi beberapa tahun lalu," kata Abdelhamid Jelassi, Koordinator Nasional parti berkenaan.

Rakyat Tunisia berharap pilihan raya itu dan pilihan raya presiden pada 23 November depan akan memberi kestabilan kepada negara berkenaan, hampir empat tahun selepas revolusi 2011 yang menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali. - AFP
Penyokong Parti Nida Tunis (Panggilan Tunisia) meraikan kemenangan dalam pilihan raya Parlimen di Tunis semalam. - Foto AP sumber

No comments: