Saturday, November 1, 2014

AFGHANISTAN - Presiden Ajak Taliban Berunding

BEIJING: Presiden baharu Afghanistan, Ashraf Ghani Ahmadzai mengajak Taliban supaya mengambil bahagian dalam proses perdamaian yang disokong masyarakat antarabangsa.

Bercakap pada satu sidang akhbar berhubung perdamaian dan usaha membangunkan semula Afghanistan hari ini, Ashraf bagaimanapun tidak merujuk kepada sebarang cadangan khusus.
"Keamanan adalah perkara utama kami. Kami menjemput pihak pembangkang politik, khususnya Taliban, agar mengambil bahagian dalam dialog mengenai Afghanistan, dan minta semua rakan di peringkat antarabangsa supaya menyokong proses perdamaian diketuai dan dimiliki sendiri oleh Afghanistan," katanya.

"Kita mesti berwaspada agar tidak membenarkan kumpulan tertentu daripada meneruskan ilusi untuk menggunakan negara ini sebagai medan pertempuran bagi menentang sistem antarabangsa," katanya.
Dalam ucapannya, pemimpin China, Li Keqiang berkata, China mempunyai keyakinan terhadap kemampuan Afghanistan untuk menyelesaikan masalahnya sendiri, dan negara jiran patut membantu mewujudkan suasana aman tanpa masuk campur dalam hal ehwal dalamannya.

"Masyarakat antarabangsa harus menghormati kedaulatan, kebebasan dan integriti wilayah Afghanistan, tidak mencampuri hal ehwal dalamannya dan menyokong usahanya untuk memperoleh keselamatan dan kestabilan," kata Li. - AP

Pemimpin China, Li Keqiang (kanan) bersalaman dengan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani Ahmadzai pada majlis pembukaan Persidangan Peringkat Menteri Proses Istanbul di Afghanistan Beijing hari ini. - Foto AP
 

No comments: