Tuesday, November 4, 2014

Selatan THAI - 3 Maut 2 Cedera

PATTANI: Tiga pemimpin kampung maut manakala dua lagi cedera apabila kenderaan yang mereka naiki diserang oleh kumpulan lelaki bersenjata dalam satu kejadian di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muang Pattani, Pol Kol Tuandir Chutanon, berkata dalam kejadian 5 petang itu, semua mangsa yang menaiki sebuah trak pikap ditembak ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri mesyuarat bulanan di Pejabat Daerah di sini.

Mangsa adalah seorang Tok Penggawa dan empat penolong ketua Kampung Klong Maning, daerah Muang Pattani.

Chutanon berkata, mereka ditembak dengan raifal M16 dan AK47 berikutan terdapat lebih 50 kelongsong peluru jenis itu ditemui di tempat kejadian.

"Suspek dikatakan menaiki sebuah trak pikap dan telah menghampiri kenderaan mangsa sebelum melepaskan tembakan," katanya.

Beliau berkata, pihak polis sedang menyiasat sama ada motif kejadian itu berkaitan dengan konflik politik tempatan atau puak pemisah yang aktif di wilayah selatan negara itu.
- BERNAMA
sumber

No comments: