Tuesday, January 27, 2015

FILIPINA - 30 Polis Terbunuh Bertempur dengan MILF

MANILA 26 Jan. – Pegawai kanan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) hari ini menyatakan, pertempuran melibatkan pasukan keselamatan dengan pergerakan tersebut di Mamasapano, Maguindanao yang menyaksikan kira-kira 30 anggota polis maut, tidak akan mengganggu proses kelulusan Rang Undang-undang Asas Bangsamoro.

Portal berita abscbnnews.com melaporkan, Naib Pengerusi MILF bagi hal ehwal politik, Ghadzali Jaafar berkata, penangguhan pro­ses kelulusan rang undang-undang itu tidak memberi faedah kepada semua parti terlibat. “Tanpa kelulusan satu rang undang-undang, Mindanao kekal berperang.

 “Secara teknikalnya, Mindanao masih berperang kerana apa yang ada sekarang adalah perjanjian gencatan senjata. Tiada penyelesaian kepada masalah sebenar, sehingga penyelesaian di Mindanao dilaksanakan. Keadaan akan kekal se­perti biasa,’’ katanya.

Ketua perunding kerajaan, Mi­riam Coronel-Ferrer pula berkata, kerajaan berazam meneruskan penubuhan wilayah Bangsamoro.

 “Kejadian ini dan beberapa keganasan lain yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata menunjukkan pelbagai cabaran keselamatan yang boleh menggagalkan proses damai. “Bagaimanapun, keazaman ka­mi tetap kukuh untuk melaksanakan proses kelulusan Rang Undang-undang Bangsamoro. Melalui kerjasama lebih baik, kami akan mampu menghalang kejadian seumpama ini daripada berulang,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Kira-kira 30 anggota Pasukan Tindakan Khas Polis terbunuh dalam pertempuran dengan anggota MILF di Mamasapano semalam, situasi yang menguji run­dingan damai antara kerajaan dan kumpulan pemisah itu. Ferrer berkata, polis khas itu sedang melaksanakan operasi untuk mencari pengganas Jemaah Islamiah (JI), Zulkifli Hir yang juga dikenali sebagai Marwan sebelum pertempuran berlaku. Beberapa pegawai berkata, ope­rasi tersebut tidak diselaraskan dengan baik bersama MILF.sumber

No comments: