Monday, January 5, 2015

INDONESIA - Pesawat QZ7633 Berpatah Balik

SURABAYA: Pesawat AirAsia Indonesia QZ7633 yang dijadual berlepas dari Surabaya ke Bandung pada jam 9 malam semalam (waktu tempatan) berpatah balik ke landasan asal akibat masalah teknikal.
Dalam kenyataan akhbar AirAsia Indonesia, pesawat Airbus A320-200 (PK-AZC) yang membawa 161 penumpang mengalami masalah Unit Penjana Tenaga (APU) ketika berundur.

Kapten pesawat kemudiannya mengemudi pesawat kembali ke pintu bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan atas sebab keselamatan.

APU adalah alat yang terletak di bahagian ekor pesawat berfungsi mengalirkan tenaga elektrik dan sistem pneumatik apabila kapal terbang berada di atas landasan dan sebelum enjin utama dihidupkan.
APU mempunyai sistem perlindungan apabila ia mematikan secara automatik APU sebaik ia mengesan sebarang sistem yang bermasalah seperti terlebih kelajuan, tekanan minyak rendah, masalah penapis minyak atau suhu minyak menjadi terlampau panas bagi memastikan keselamatan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko berkata: "Kapten mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan kembali ke landasan asal bagi memastikan keselamatan operasi.
"Pemeriksaan lanjut selesai disempurnakan pasukan jurutera kami dengan mematuhi SOP. Selepas pemeriksaan terakhir selesai, pesawat dibenarkan untuk berlepas kira-kira sejam kemudian.
"Biarpun berdepan liputan yang begitu sensasi, tidak timbul isu keselamatan dan pesawat terbabit selamat mendarat di Bandung." sumber

No comments: