Wednesday, January 28, 2015

ISIL Berundur dari Kobane dan Diyala

BAGHDAD 27 Jan. - Kumpulan bersenjata Kurdis dilapor mengusir kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) dari sempadan bandar Kobane, Syria selepas lebih empat bulan bertempur.

Sementara itu, tentera Iraq pula mengumumkan kejayaan mereka merampas kembali kawasan di wilayah Diyala di timur Iraq daripada ISIL. Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, Unit Perlindungan Penduduk (YPG) berjaya mengusir ISIL dari Kobane dan menguasai sepenuhnya bandar berkenaan. “Pejuang Kurdis mengusir militan ISIL dari pinggir bandar Kobane,... tiada pertempuran berlaku ketika ini,” ujarnya seperti dipetik portal berita hurriyetdailynews.

Kejatuhan Kobane yang juga dikenali sebagai Ayn al-Arab menjadi satu tamparan hebat kepada ISIL yang kehilangan lebih 1,000 anggotanya selepas cuba menawan bandar itu sejak 16 September 2014. Pada hari yang sama seorang pegawai tertinggi tentera Iraq mengumumkan bahawa tentera Iraq berjaya membebaskan kawasan Diyala daripada ISIL dan menguasai semula beberapa kawasan di wilayah timur itu daripada ISIL.

“Kami umumkan pembebasan Diyala daripada ISIL,” kata Lt. Jeneral Abdulamir al-Zaidi. Pertempuran terakhir berlaku dari 23 Jan sehingga semalam di kawasan Muqdadiyah, timur laut Diyala dan pusat bandar Baquba. Abdulamir dan Ketua Majlis Daerah, Adnan al-Tamimi berkata, tentera Iraq menguasai seluruh kawasan termasuk Muqdadiyah dan beberapa kawasan lain. – AFP - sumber

No comments: