Wednesday, January 28, 2015

MESIR - Lebih 500 Penyokong Ikhwan Ditahan

KAHERAH 27 Jan. – Polis Mesir menahan lebih 500 penyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin yang disenarai hitam di negara ini selepas pertempuran meletus antara kedua-dua pihak, di sini, kelmarin.

Pertempuran itu berlaku selepas pergerakan-pergerakan Islam Mesir meminta supaya diadakan demonstrasi menentang kerajaan Pre­siden, Abdel Fattah al-Sisi semasa ulang tahun keempat penggulingan bekas Presiden, Hosni Mubarak. Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia seringkali mengutuk penggunaan ‘tindakan kekerasan’ oleh pihak berkuasa dalam meleraikan tunjuk perasaan dan mendakwa polis melakukan tangkapan secara rambang.

dvertisement “Pasukan keselamatan menahan sebanyak 516 penyokong Ikhwanul Muslimin yang terlibat melepaskan tembakan, menanam bahan letupan dan mengebom beberapa kemudahan awam,’’ kata Menteri Dalam Negeri Mesir, Mohamed Ibrahim dalam sidang media, semalam.

Penyokong kepada Mohammed Mursi, bekas Presiden yang menggantikan Mubarak kerap kali bertempur dengan pasukan kesela­matan sejak beliau digulingkan oleh Abdel Fattah pada Julai 2013. Ibrahim menjelaskan, sebanyak 20 orang termasuk dua anggota polis terbunuh dalam pertempuran kelmarin dengan kematian tertinggi berlaku di Matareya, di utara Kahe­rah yang menyaksikan pertempuran berlarutan sehingga lebih 12 jam. Jurucakap kementerian kesihatan dalam pada itu berkata, seorang penunjuk perasaan maut dalam pertempuran sama di Iskandariah, manakala tiga orang militan maut semasa cuba menanam bahan le­tupan di daerah Delta Nil, utara Kaherah.

Sementara itu, Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia, Human Rights Watch (HRW) mendakwa polis menggunakan kekerasan berlebihan terhadap penunjuk perasaan, kelmarin. “Empat tahun selepas revolusi Mesir, polis masih membunuh penunjuk perasaan,’’ kata Pengarah HRW bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson. Kumpulan yang beribu pejabat di New York itu pada masa sama menggesa satu siasatan bebas dilaksanakan terhadap penggunaan kekerasan berlebihan oleh pihak berkuasa untuk meleraikan de­monstrasi yang dilihat berlangsung dengan aman. – AFP - sumber

No comments: