Tuesday, January 20, 2015

Mursi Dakwa Tentera Terlibat Bunuh Rakyat pada 2011

KAHERAH 19 Jan. – Bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi dalam satu perbicaraan semalam mendakwa, pasukan tentera terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika berlakunya kebangkitan rakyat pada tahun 2011 bagi menjatuhkan Presiden, Hosni Mubarak.

Mursi, pemimpin pergerakan Ikhwanul Muslimin yang diangkat menjadi Presiden pada tahun 2012 dalam satu kenyataan berkata, se­orang lelaki yang bertanggungja­wab menggulingkannya tahun la­lu memain peranan penting da­lam pembunuhan kejam itu. Bagaimanapun, dalam ke­nya­taan yang disifatkannya sebagai laporan ‘mencari fakta’ itu, beliau tidak menamakan Presiden, Abdel Fattah al-Sisi sebagai pelaku utama kejadian tersebut.

 Kata Mursi, elemen berkenaan dilakukan oleh sebuah badan ke­rajaan diketuai oleh ‘pemimpin rampasan kuasa’ yang mengambil bahagian dalam pembunuhan penunjuk perasaan. “Misi mencari fakta yang telah saya gabungkan melibatkan testimoni daripada seorang pengurus hotel. Pengurus hotel itu berkata, beberapa orang memasuki bilik hotel dan melepaskan tembakan dari bilik berkenaan. Mereka datang dari sebuah badan kerajaan yang di­­pimpin oleh perampas kuasa.

 “Kenapa saya tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang membunuh penunjuk perasaan? Kerana saya mahu mempertahankan institusi ketenteraan,” jelas Mursi. Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas dikeluarkan oleh tentera mahupun Abdel Fattah berhubung tuduhan tersebut. Polis Mesir dipercayai terlibat dalam pertempuran bersama beratus ribu kumpulan penunjuk pera­saan yang melakukan bantahan di Dataran Tahrir bagi menamatkan pemerintahan kuku besi Hosni pada Februari 2011. – REUTERS sumber

No comments: