Wednesday, January 21, 2015

Said Kouachi Dikebumi Secara Rahsia

Paris: Jenazah seorang daripada tiga lelaki bersenjata yang membunuh 17 orang dalam serangan di Paris baru-baru ini dikebumikan secara rahsia di sebuah kubur tidak bertanda, lapor pihak berkuasa.
Saïd Kouachi yang dibunuh pihak berkuasa selepas menyerang pejabat akhbar mingguan satira Charlie Hebdo bersama adik lelakinya, Chérif, dikebumikan pada waktu malam dengan kawalan ketat polis di timur bandar Reims.

Peguamnya, Antoine Flasaquier berkata, balu Said juga tidak menghadiri upacara terbabit takut beliau diekori wartawan yang akhirnya akan membongkar lokasi kubur itu. Ia hanya dihadiri beberapa keluarga terdekat.

Datuk Bandar, Arnaud Robinet berkata, beliau pada mulanya keberatan untuk menerima permintaan keluarga Kouachi's untuk mengkebumikan dia di Reims. Bandar tempat beliau tinggal bersama isterinya sebelum terbabit dalam serangan 9 Januari lalu.

"Kerajaan mengingatkan saya tanggungjawab saya (untuk membenarkan pengebumian) di bawah undang-undang," kata Robinet, merujuk kepada undang-undang Perancis yang memberikan hak untuk dikebumikan di tempat kediaman terakhir.

Seorang pegawai yang tidak mahu dikenali berkata: "Memandangkan risiko gangguan keamanan dan usaha untuk menutup episod tragis ini, pihak berkuasa memutuskan untuk mempercepatkan pengebumian.
Chérif Kouachi juga bakal dikebumikan di kubur yang tidak bertanda di pinggir bandar Paris Gennevilliers, tempat tinggalnya sebelum ini.

Menurut seorang pegawai, pihak berkuasa menolak permintaan balunya, Izzana untuk kedua-dua adik-beradik itu dikebumikan bersama-sama di Gennevilliers atas alasan Saïd Kouachi sering tinggal di flat mereka di sana. Pegawai terbabit enggan mendedahkan tarikh Chérif Kouachi dikebumikan. - AGENSI

sumber

No comments: