Tuesday, January 27, 2015

YAMAN - Rundingan Damai Gagal

SANAA 26 Jan. - Rundingan damai tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara kumpulan pemberontak Huthi dan parti-parti politik Yaman, semalam menemukan kegagalan, kata pegawai yang terlibat dalam perbincangan tersebut.

 Menurut pegawai dari sebuah parti yang menghadiri rundingan itu dan tidak mahu namanya didedahkan, Parti Islah, Parti Sosialis, dan Parti Nasserite menarik diri daripada rundingan tersebut. PressTV melaporkan, ketiga-tiga parti itu sebaliknya meminta diadakan bantahan terhadap kumpulan pemberontak tersebut di tengah-tengah kebuntuan politik yang meruncing di negara ini.

Ketidaktentuan politik itu bermula selepas Presiden, Abdrabuh Mansur Hadi dan Kabinet Perdana Menteri, Khaled Bahah meletak jawatan ekoran tekanan daripada pemberontak Huthi, baru-baru ini. Dalam perkembangan berasing­an, pemberontak Huthi semalam melepaskan tembakan amaran bagi menyuraikan tunjuk perasaan di ibu negara ini yang membantah tindakan mereka menguasai Sanaa sejak September lalu.

Ketika penunjuk perasaan cuba menghampiri Universiti Sanaa bagi membantah peningkatan pengu­asaan kumpulan Huthi, kumpulan itu bertindak melepaskan beberapa tembakan amaran bagi menyuraikan serta menahan beberapa peserta.

Pemberontak Huthi turut menyerang wartawan dan merosakkan kamera sebelum mengukuhkan kedudukan di sekitar universiti itu bagi menghalang tunjuk perasaan baharu. Anggota pemberontak itu turut menahan tiga wartawan yang membuat liputan tentang demonstrasi tersebut dan membebaskan seorang daripada mereka yang merupakan wartawan Reuters. – AGENSI/AFP sumber

No comments: