Thursday, February 26, 2015

15,000 Warga MESIR Lari dari LIBYA



KAHERAH: Kira-kira 15,000 rakyat Mesir pulang ke tanah air berikutan pergolakan memuncak di Libya dengan menyeberang sempadan di Sallum selepas kumpulan jihad Negara Islam (IS) membunuh 21 penganut Coptic Christian.

Minggu lalu, jet pejuang Mesir dan Libya menyasarkan lokasi IS di Libya selepas kumpulan jihad itu menyiarkan video bertarikh 15 Februari menunjukkan penganut Kristian iaitu 20 daripadanya rakyat Mesir dipenggal kepala mereka.

Sejak itu, Kaherah menggesa ratusan ribuan rakyatnya yang bekerja di Libya supaya meninggalkan negara bergolak berkenaan dan menaiki pesawat sewa khas untuk pulang ke tanah air menggunakan laluan dari Tunisia.

Sekurang-kurangnya 14,585 orang sudah menyahut gesaan berkenaan dan kembali menerusi Sallum di barat laut Mesir.

Jumlah itu termasuk 3,018 orang warga Mesir semalam tetapi tidak menyatakan jumlah mereka yang beragama Kristian.

Sehubungan itu, jurucakap Kementerian Pengangkutan di Tunisia berkata, sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Mesir meninggalkan Libya menggunakan pesawat yang disewa khas dari Kaherah sejak Jumaat lalu.
Selain itu, pegawai kastam Tunisia berkata, sejumlah rakyat Mesir turut menunggu di sempadan Libya, berharap untuk menyeberang masuk.

Sementara itu, lewat semalam sebuah pesawat membawa 231 rakyat Mesir berlepas dari Tunisia dan mendarat di Lapangan Terbang Kaherah. -AFP sumber

No comments: