Wednesday, February 11, 2015

Demo Anti-Islam Pertama di AUSTRIA Gagal!

LINZ 9 Feb. – Demonstrasi anti-Islam pertama diadakan di bandar Linz, Austria anjuran Kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) gagal selepas hanya menarik kehadiran kira-kira 150 orang semalam, kata polis.

Perarakan PEGIDA di seluruh bandar itu turut dibatalkan selepas lebih 2,000 penunjuk perasaan anti-keganasan menghalang laluan yang ingin dilalui oleh kumpulan anti-Islam tersebut, lapor Agensi Berita Austria.

Apabila keadaan itu berlanjutan selama satu jam, yang turut menyaksikan sejumlah bebola salji dilemparkan antara mereka, PEGIDA kemudian mengambil keputusan untuk bersurai. Jurucakap polis menyatakan, tiada penunjuk perasaan ditahan dalam kejadian tersebut. “Tidak seperti perarakan di Vienna pada minggu lalu, pihak polis tidak melihat sebarang gerakan tanda hormat ala Hitler dilakukan dalam perhimpunan kali ini di Linz,’’ katanya.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 1,000 orang Islam di Britain mengadakan demonstrasi di pusat bandar London semalam bagi membantah akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo, yang menghina Nabi Muhammad. Penunjuk perasaan tersebut berhimpun berdekatan pejabat Perdana Menteri Britain, David Cameron di Whitehall, London sambil membawa sepanduk yang tertulis, ‘Berdiri Teguh Untuk Nabi Kita.’

 Demonstrasi itu diadakan beberapa minggu selepas 17 orang terbunuh dalam tempoh tiga hari keganasan di Perancis pada bulan lepas. Kejadian itu berlaku apabila dua lelaki bersenjata memecah masuk ke pejabat akhbar mingguan itu serta melepaskan beberapa das tembakan. – AFP sumber

No comments: