Tuesday, February 10, 2015

FILIPINA - 8 Militan Terbunuh

ZAMBOANGA, Filipina: Lapan ahli kumpulan militan Filipina yang dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di selatan negera itu, kata pihak tentera, hari ini.
Jurucakap kerajaan, Ensign Chester Ramos berkata, seramai 13 ahli pasukan bertindak banteras keganasan turut cedera dalam pertempuran dengan kumpulan Abu Sayyaf di pulau Jolo.

Katanya, lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang mati ialah pengikut Radullan Sahiron, salah seorang militan yang sedang diburu kerajaan Amerika Syarikat dengan ganjaran AS$1 juta kerana dianggap sebagai kumpulan "pertubuhan keganasan asing".

Ramos berkata, kumpulan Sahiron yang dianggotai kira-kira 100 orang sering bertempur dengan pasukan keselamatan di sekitar bandar Patikul, Jolo selama berminggu-minggu sehingga menyebabkan enam askar cedera.

Kumpulan Abu Sayyaf, yang ditubuhkan dengan bantuan sumber kewangan Al-Qaeda pada awal 1990-an, didakwa atas banyak serangan militan di Filipina termasuk meletupkan sebuah feri pada 2004 di Teluk Manila yang mengorbankan lebih 100 nyawa.

Mereka yang kebanyakannya berpusat di selatan Filipina turut terbabit dalam penculikan berprofil tinggi membabitkan pelancong asing dan mubaligh Kristian. - AFP sumber

No comments: