Wednesday, February 11, 2015

MESIR - Lebih 20 Penonton Bola Maut akibat Polis?

KAHERAH 10 Feb. – Kematian lebih 20 peminat bola sepak di luar sebuah stadium akibat bersesak-sesak kelmarin, menimbulkan persoalan berhubung kewajaran tindakan polis Mesir terhadap kumpulan penyokong bola sepak tersebut.

Dalam kejadian itu, polis didakwa menyembur gas pemedih mata ke arah lorong sempit yang penuh dengan penyokong yang mahu masuk ke dalam stadium, sekali gus mencetuskan insiden tersebut.

Pengarah Eksekutif Kelab Peminat Al-Ahly, Mamdouh Eid berkata, insiden itu jelas menunjukkan hanya dua pihak terlibat iaitu belia yang mahu menonton perlawanan bola sepak dan polis.

 “Dalam kes ini, polis membunuh penonton. Tidak ada pihak ketiga yang terlibat, mahupun konspirasi oleh penyokong pergerakan Islam. Hanya polis,’’ kata Mamdouh yang merujuk kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah al Sisi.

Menurut seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan kerana bimbang menjadi mangsa pihak berkuasa berkata, insiden itu dimulakan oleh polis yang bertindak menyembur gas pemedih mata. “Penyokong yang jatuh tidak dapat bangun semula,’’ katanya dengan hujahnya disokong seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed.

Bagaimanapun, media prokerajaan dan Kementerian Dalam Negeri Mesir menafikan polis bertanggungjawab dalam kejadian tersebut. Seorang pengulas stesen te­levisyen, Ahmed Moussa melabelkan mangsa sebagai ‘samseng’ yang melanggar undang-undang, manakala program bual bicara ste­sen televisyen lain menuduh perge­rakan Ikhwanul Muslimin bertanggungjawab terhadap insiden itu. – AP/REUTERS

Sementara itu, kerajaan Mesir menawarkan pampasan sebanyak 25,000 pound Mesir (RM11,664) kepada waris penyokong kelab Zamalek dan Enppi yang maut dalam insiden itu. Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir, jumlah kematian dalam insiden di stadium itu berjumlah 19 orang, namun pejabat pendakwa raya mengesahkan sebanyak 22 kematian direkodkan setakat ini, manakala kelab penyokong Zamalek, ‘Ultras White Knights’ mendakwa sebanyak 28 maut dalam kemalangan itu.sumber

No comments: