Wednesday, February 4, 2015

MESIR Sahkan Hukum Mati 183 Lelaki

KAHERAH: Mahkamah Mesir mengesahkan hukuman mati dikenakan terhadap 183 lelaki yang didapati bersalah membunuh 13 anggota polis pada ketika pemantau hak asasi manusia, Amnesty International menyifatkan hukuman itu sebagai "melampau."

Hukuman berkenaan diumumkan serentak apabila sebuah lagi mahkamah memutuskan bahawa Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi akan dibicarakan pada 15 Februari ini bagi kes pengintipan - perbicaraan keempat buat dirinya.

Kesemua anggota polis itu dibunuh dalam serangan ke atas balai polis di sebuah bandar di pinggir Kaherah, Kerdasa pada 14 Ogos 2013.

Serangan terbabit berlaku pada hari yang sama apabila pasukan keselamatan membunuh beratus-ratus penunjuk perasaan dalam pertempuran ketika mereka merobohkan dua khemah utama kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Morsi di Kaherah.

Pada Disember lalu mahkamah menjatuhkan hukuman awal terhadap 188 defendan ketika perbicaraan secara besar-besaran.

Dua daripada defendan berkenaan dibebaskan manakala seorang lagi dihukum penjara 10 tahun.
Sementara itu, tuduhan terhadap dua lagi digugurkan selepas mahkamah mendapati mereka sudah meninggal dunia. - AFP sumber

No comments: