Thursday, February 5, 2015

NIGERIA - 209 Terbunuh dalam Pertempuran

GAMBORU 4 Feb. – Seramai 209 orang terbunuh dalam satu pertempuran antara kumpulan militan, Boko Haram dan tentera Chad di bandar sempadan, Gamboru, Nigeria yang dikuasai kumpulan pemberontak itu. Menurut satu kenyataan tentera Chad semalam, jumlah kematian tersebut dijangka meningkat memandangkan pasukan tentera masih menjalankan operasi bagi mengusir anggota militan daripada bandar berkenaan. Kira-kira 2,000 anggota tentera Chad beserta kenderaan bersenjata memenuhi Gambaru selepas Kesatuan Afrika memberi sokongan untuk menghapuskan kumpulan itu.

Menurut wakil agensi AFP, bunyi tembakan masih kedengaran hari ini di lokasi tersebut yang telah ditinggalkan oleh para penduduk selepas serangan udara dilancarkan oleh tentera Chad. Komander tentera Chad, Ahmat Dari berkata, pihaknya telah mengalahkan Boko Haram dalam pertempuran itu dan berikrar akan memburu mereka di merata tempat.

 Sementara itu, bandar Fotokol yang berada dalam kawasan sempadan Cameroon dilaporkan diserang oleh Boko Haram pagi tadi. Sumber keselamatan Cameroon melaporkan, pertempuran sengit berlaku antara Boko Haram dan tentera tempatan sebelum mereka menerima bantuan daripada tentera Chad yang melintasi sempadan dari Nigeria. – AFP sumber

No comments: