TASHKENT: Rakyat Uzbekistan mengundi hari ini untuk memilih presiden
yang akan memimpin negara lebih 30 juta penduduk ini menuju ke arah masa
depan lebih makmur, memiliki masyarakat sivil lebih kukuh dan
melaksanakan pembaharuan demokrasi secara lebih menyeluruh.
Ini adalah peristiwa penting kedua bagi rakyat negara itu dalam
tempoh tiga bulan selepas menghadapi pilihan raya parlimen pada 21
Disember tahun lepas.
Pertandingan empat penjuru kali ini menyaksikan penyandang jawatan
Presiden Islam Karimov daripada Liberal Democratic Party menawarkan diri
untuk mengekalkan jawatannya.
Tiga calon lain ialah Khatamjan Ketmonov daripada People's Democratic
Party; Narimon Umarov daripada Social Democratic Adolat (Justice)
Party, dan AkmalSaidov daripada Democratic National Renaissance Party.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC), Mirza-Ulugbek
Abdusalomov, 135 kawasan pilihan raya, 9,058 pusat mengundi, termasuk
44 di luar negara, dibuka untuk urusan pengundian, manakala jumlah
pemilih berdaftar ialah 20,798,052.
Lebih 340 wakil media dari dalam dan luar negara membuat liputan tentang pilihan raya ini, katanya pada satu majlis taklimat.
Beliau berkata, pilihan raya ini juga menyaksikan kehadiran kira-kira
300 pemerhati yang diundang dari 43 negara, termasuk Malaysia,
Pakistan, Amerika dan Jepun serta lima pertubuhan antarabangsa termasuk
Commonwealth Independent States dan Pertubuhan Kerjasama Islam untuk
membuat pemantauan.
Kata Abdusalomov, kehadiran mereka penting kerana dapat mendorong CEC mengurus pemilihan itu secara adil dan saksama.
Anggota pasukan pemerhati Malaysia yang tiba pada Jumaat termasuk
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Doris Sophia Brodi, Timbalan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim
Abdullah, yang turut diundang sebagai pemerhati bagi pilihan raya
parlimen tahun lepas, dan Naib Presiden Kanan Institut Kepimpinan dan
Strategi Asia (ASLI), Max Say, yang juga menjadi pemerhati bagi kali
kedua.
Abdulsalomov berkata, peluang secara adil dan sama rata diberi kepada
empat calon yang bertanding untuk berkempen melalui media elektronik
dan cetak.
Di KUALA LUMPUR, Duta Besar Uzbekistan di Malaysia Murad Askarov
berkata, kira-kira 200 rakyat Uzbekistan akan mengundi pada Ahad.
Pengundian akan diadakan di kedutaan itu di Ampang Utama, katanya
pada taklimat baru-baru ini, yang turut dihadiri Mohd Hashim dan Say.
Pada taklimat itu, Mohd Hashim berkata, beliau yakin urusan politik
penting itu akan dilaksanakan mengikut norma undang-undang dan standard
demokrasi yang diiktiraf antarabangsa, manakala Say pula menyatakan
beliau percaya proses itu akan berlangsung dalam semangat keterbukaan,
telus dan adil dengan penyertaan aktif rakyat Uzbekistan.
Yusuf Kasimov, 33, rakyat Uzbekistan yang bertugas di Lapangan
Terbang Antarabangsa Tashkent, berkata beliau berharap pengundi akan
memilih seorang presiden yang mampu memimpin dengan baik dan menjamin
keamanan negaranya.
"Saya mahu berasa selamat walaupun keluar pada waktu malam," katanya di sini.
Di Qarshi, ibu negeri Qashqasaryo, sebuah wilayah di selatan
Uzbekistan, ketua pusat mengundi, Jurayev Ismail Shodiyech, berkata
semua tempat pengundian sudah bersedia untuk melaksanakan proses
pemilihan presiden. Qarshi terletak satu setengah jam penerbangan dari
Tashkent.
Pada pilihan raya parlimen tahun lepas, jumlah pemilih berdaftar di wilayah itu ialah kira-kira 1.903 juta.
Beliau menjangka banyak yang akan keluar untuk mengundi walaupun pilihan raya sebelum ini baru diadakan tiga bulan lepas.
"Rakyat akan keluar untuk mengundi kerana mereka mahu pilihan raya
ini diadakan dan ia diperuntukkan oleh undang-undang," katanya.
Mengenai kualiti yang perlu dimiliki seseorang presiden, Shodiyech
dan timbalannya Sobirjon Qurbonov, berkata mereka berharap akan
mempunyai presiden yang mampu terus membangunkan negara dan menjamin
wujudnya keselamatan.
"Faktor paling penting di sini ialah keamanan negara," kata mereka.
Shodiyech berkata, kali ini sebanyak 4,000 pemilih baharu yang mencapai usia 18 tahun pada Mac, layak mengundi.
Semua pusat mengundi dibuka pada 6 pagi dan ditutup pada 8 malam. - BERNAMA
sumber