Wednesday, March 11, 2015

200 Anggota Boko Haram Terbunuh

DAMASAK 10 Mac. - Sekurang-kurangnya 200 anggota kumpulan militan Boko Haram terkorban dalam satu serangan yang dilancarkan oleh pasukan tentera Chad dan Niger, sekali gus berjaya mengambil semula sebuah bandar Damasak di timur laut Nigeria, kata sumber keselamatan Chad hari ini.

Sumber itu menambah, kumpulan militan Boko Haram sebelum ini telah menawan bandar di pinggir sempadan Niger itu sejak bulan November lalu. Katanya, seramai 10 anggota tentera Chad terkorban dan 20 lagi cedera dalam pertempuran sengit itu yang bermula sejak hari Ahad.Seorang pegawai tentera Niger di Diffa yang terletak di seberang sempadan Damasak mengesahkan bahawa bandar itu telah diambil semula selepas satu pertempuran sengit berlaku.

Serangan itu yang dilakukan melalui gabungan pasukan tentera di selatan Niger telah membuka satu ruang baharu dalam usaha serantau untuk menghapuskan kumpulan militan Boko Haram yang mana sejak enam tahun lalu telah berkembang hingga melepasi sempadan.

Kempen ketenteraan itu dilakukan selepas pemimpin kumpulan militan Boko Haram, Abubakar Shekau berjanji setia kepada kumpulan militan Negara Islam dalam satu pesanan bersuara pada minggu lalu.

Lebih daripada 13,000 orang telah terkorban dan sebahagian dari 1.5 juta orang awam kehilangan tempat tinggal dalam konflik membabitkan Boko Haram sejak 2009 dan gabungan perikatan serantau merupakan satu gambaran kepada kebimbangan serantau mengenai keselamatan ekoran serangan rentas sempadan yang berlaku. - AFP sumber

No comments: