Dilaporkan, hanya sebanyak 20 orang penduduk menetap di Pulau Aoshima berbanding 120 ekor kucing yang tinggal di rumah-rumah kosong dan jalanan.
Kampung nelayan itu yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menaiki feri dari wilayah Ehime, pernah menempatkan 900 penduduk pada 1945, namun kini hanya dihuni pesara yang menghabiskan sisa hidup mereka di pulau tersebut.
Kewujudan kucing-kucing itu menjadikan Pulau Aoshima sebagai tarikan pelancong yang turut menggelarkan lokasi tersebut sebagai ‘Pulau Kucing’.
Walaupun tidak mempunyai kemudahan seperti restoran, perkhidmatan sewa kereta atau kedai-kedai menjual makanan ringan, peminat kucing tidak kisah dengan keadaan itu.
“Satu-satunya aktiviti yang ada di sini adalah memberi kucing makan. Ini menyeronokkan. Saya mahu datang ke sini lagi,” kata seorang pengunjung, Makiko Yamasaki, 27.
Bagaimanapun, bukan semua penduduk di Pulau Aoshima menggemari kucing.
Ini terbukti apabila ada antara mereka menghalau kucing-kucing menggunakan kayu.
Hidenori Kamimoto, 65, yang bekerja sebagai nelayan berkata, dia tidak kisah sekiranya pulau itu menjadi tumpuan pelancong, namun tidak mahu sehingga kehadiran pengunjung menganggu kehidupan penduduk. – REUTERS