Thursday, March 26, 2015

INDONESIA - Dua Askar Terbunuh di Aceh

Mayat anggota Tentera Nasional Indonesia yang ditemukan mati dipercayai

JAKARTA 25 Mac - Dua orang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang sedang menjalankan tugas risikan di sebuah kampung di Aceh, ditemukan mati selepas dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata, kelmarin.

 Indra Irawan, 41, dan Hendrianto, 36, diculik Isnin lalu selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Ketua Kampung di Desa Alue Mbang, di Aceh Utara berhubung maklumat adanya sekumpulan orang awam bersenjata yang dikatakan terlibat dalam beberapa kes penculikan di daerah itu.

Beberapa akhbar di sini hari ini melaporkan, mayat kedua-dua tentera yang bertugas sebagai penyiasat tentera komando daerah (Kodam) itu ditemukan beberapa kilometer dari tempat mereka diculik dengan tangan terikat.

Akhbar Tempo memetik Ketua Jabatan Penerangan Angkatan Darat TNI, Brigedier Jeneral Wuryanto sebagai berkata, daripada maklumat yang diperoleh, pihak penyiasat menemukan satu kelongsong peluru senapang AK- 47 dan M16.

Sementara itu, akhbar Media Indonesia melaporkan Komandan Achmad Daniel Chardin memberitahu, para penculik yang dipercayai seramai 15 orang dikenal pasti menggunakan pelbagai senjata api dan berpakaian celoreng serta hitam. “Kedua-dua tentera itu diculik tidak jauh dari rumah ketua kampung dan dibawa ke satu tempat dengan sebuah kenderaan,’’ katanya. Panglima Kodam Iskandar Mu­da, Major Jeneral Agus Kriswanto mengecam tindakan penculikan dan pembunuhan dua anggota tentera tersebut. “Kami mengarahkan anggota untuk menyiasat dan memburu mereka yang bertanggungjawab, tetapi saya menghargai undang-undang dan rakyat Aceh yang baik. Kes ini saya serahkan kepada undang-undang,’’ katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihak berkuasa belum mengetahui motif sebenar kejadian penculikan serta pembunuhan Indra dan Hendrianto, bagaimanapun beliau yakin ahli-ahli politik di Aceh tidak menggunakan cara keji dalam mencapai tujuan mereka. Kedua-dua mayat mangsa telah dituntut oleh keluarga masing-masing dan selamat dikebumikan di kampung halaman mereka petang semalam. sumber

No comments: