Tuesday, March 24, 2015

Kesultanan Sulu Tak Sokong Autonomi di Mindanao

Abraham Idjirani

MANILA 23 Mac – Kesultanan Sulu tidak akan menyokong Rang Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL) yang bertujuan menubuhkan wilayah autonomi di Mindanao kerana percaya Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan menggugurkan tuntutan ke atas Sabah sebagai pertukaran kepada sokongan Malaysia.

Portal berita Manila Times melaporkan, jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani (gambar) berkata, pihaknya melihat rang undang-undang itu mempunyai objektif yang samar-samar. Beliau berkata, sebaik-baik kerajaan Bangsamoro ditubuhkan, MILF akan mula menggugurkan tuntutan ke atas Sabah. “MILF akan mencari pendekatan bagaimana untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah. Sabah adalah harta rakyat Basilan, Sulu, Tawi-Tawi, Zamboanga dan Palawan. MILF akan menggugurkan tuntutan ke atas Sabah kerana tidak berminat dengan negeri itu dan mereka berhutang dengan Malaysia. “Bukan Kongres Filipina yang akan menggugurkan tuntutan itu, tetapi MILF sebagai pertukaran atas sokongan Malaysia,’’ katanya.

Malaysia bertindak sebagai orang tengah antara kerajaan Filipina dan MILF dalam penubuhan kerajaan Bangsamoro di Mindanao. Abraham berkata, Kesultanan Sulu dan pihak lain tidak dihubungi berhubung perkara itu, walaupun mempunyai keinginan untuk terlibat dalam mendapatkan keamanan penuh di Mindanao, selatan Filipina. “Jika kedua-dua pihak mahu mencapai keamanan di Mindanao selama-lamanya, mereka juga perlu melibatkan pihak lain berkaitan seperti penduduk Kristian dan orang asli,’’ katanya.

Tahun lepas, ketua pengganas Kiram, Ismail Kiram mengulangi gesaan supaya kerajaan Filipina terus menuntut Sabah yang kini sebahagian daripada Malaysia. Kesultanan Sulu mendesak pentadbiran Presiden, Benigno Aquino III untuk menyokong tuntutan tersebut. sumber

No comments: