Thursday, March 5, 2015

MALAYSIA Pilihan Utama Pelancong Muslim



SINGAPURA: Malaysia adalah destinasi pilihan global pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang biarpun dua tragedi udara dihadapi syarikat penerbangan negara itu tahun lalu, menurut satu kaji selidik hari ini.

Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar dan Indonesia menyusul Malaysia dalam kedudukan destinasi percutian pilihan pengembara Muslim, menurut laporan pakar pelancongan Islam, Crescentrating dan gergasi pembayaran, MasterCard.

Laporan itu menilai negara berdasarkan keprihatinan terhadap keperluan pelancong Muslim termasuk kewujudan dan akses mudah kepada restoran halal, surau di lapangan terbang, pusat beli belah dan hotel.

Markah semua perkara itu dijumlahkan menjadi Global Muslim Travel Index yang mana Malaysia sebagai negara majoriti Muslim meraih kedudukan tertinggi dengan 83.8 markah, diikuti Turki (73.8), UAE (72.1), Arab Saudi (71.3), Qatar (68.2) dan Indonesia (67.5).

"Kepada pelancong Muslim, Malaysia kekal pilihan utama kerana ia adalah destinasi percutian yang hebat untuk keluarga dan pada masa sama menawarkan suasana amat mesra Muslim," kata Ketua Eksekutif Crescentrating, Fazal Bahardeen.

"Ini termasuk setiap perkara dari tarikan hebat, makanan halal, penginapan, pusat beli belah kepada surau. malaysia memiliki prasarana terbaik untuk pengembara Muslim," katanya.

Fazal berkata, 5.9 juta pelancong Muslim melawat Malaysia tahun lalu, meningkat daripada 5.7 juta pada 2013.

Ia dikeluarkan beberapa hari sebelum ulang tahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal. - AFP sumber
Laporan yang pertama kali disediakan Crescentrating dan MasterCard itu, membabitkan 81 destinasi negara bukan islam dan 29 negara Islam.

No comments: