Thursday, March 5, 2015

Mindanao - 45,000 Penduduk Terpaksa Berpindah

Gambar bertarikh 28 Februari lalu, menunjukkan penduduk yang membawa

MANILA 4 Mac – Kira-kira 45,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di Pulau Mindanao, selatan negara ini ketika pasukan tentera melancarkan operasi memburu anggota kumpulan Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) termasuk pemimpinnya, Abdel Basit Usman.

Setiausaha Eksekutif wilayah berkenaan, Laisa Alamia berkata, tindakan itu diambil penduduk berikutan bimbang dengan keselamatan mereka sejak operasi tersebut dilakukan bulan lalu. Tindakan khas ketenteraan menggunakan helikopter dan kereta kebal itu dibuat bagi memburu anggota BIFF yang merupakan serpihan kumpulan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

 Laisa berkata, penduduk kini ditempatkan di tempat perlindungan sementara seperti sekolah, dewan atau khemah disediakan kerajaan, selain menumpang di rumah saudara mara. “Kehidupan mereka agak sukar disebabkan cuaca tidak menentu. Petani turut membawa bersama binatang ternakan mereka,” katanya.

Operasi berkenaan dilancarkan bagi memburu Abdel Basit yang turut disenaraikan sebagai pengganas paling dikehendaki kerajaan Amerika Syarikat yang menawarkan ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM3.6 juta) kepada sesiapa yang dapat menangkapnya. Pemimpin BIFF itu berjaya meloloskan diri semasa serbuan polis di Mindanao pada 25 Januari lalu yang mengorbankan anggota kumpulan itu yang juga rakyat Malaysia, Zulkifli bin Hir.

Sejak operasi tersebut dilancarkan, sebanyak 44 anggota polis komando terbunuh, sekali gus mencetuskan situasi tegang di selatan negara ini. Jurucakap tentera, Kolonel Restituto Padilla berkata, pihaknya akan meneruskan operasi terbabit termasuk memburu empat orang rakyat Indonesia dan seorang lelaki berketurunan Arab dipercayai pakar membuat bom. sumber

No comments: