Thursday, March 5, 2015

MISTERI - Ikan Toman Sebesar Bas?

Sebelum ke Royal Belum, wartawan sudah diberitahu beberapa rakan mengenai kehadiran ikan toman gergasi yang menjadi misteri di Tasik Temenggor dan pernah dilihat beberapa orang kampung di sana. Ia dikaitkan dengan misteri makhluk halus yang menghuni hutan tertua di dunia itu. Khabarnya ada yang mendakwa pernah melihat ikan toman itu timbul di satu kawasan berhampiran jeti Pulau Banding dan ada yang menceritakan tentera di situ pernah melihat kelibat sama dari ruang udara. Namun, tidak ramai berani mengesahkannya meskipun cerita misteri itu menjadi satu versi paling popular dalam kalangan orang kampung dan orang luar yang pernah berkunjung ke sana. Malah, tidak ada lokasi tepat di mana ikan misteri itu selalu kelihatan.

Ketua Kampung Belum Baru, Mat Narun Mohamad, 56, berkata tidak banyak versi cerita ikan toman itu berkisar dalam kalangan masyarakat Melayu dari kampung Belum Lama kerana ketika mereka berpindah keluar pada 1949, empangan Temenggor belum dibina. "Masa kami tinggal di Belum Lama, empangan belum ada, cuma ada hutan dan sungai. Misteri ikan toman tidak ada ketika itu. Namun, ada juga orang kampung cerita pernah nampak kelibat benda besar dari dalam tasik. "Isteri saya sendiri ketika menaiki rumah bot untuk ke Sungai Kejar pernah perasan ada satu objek seperti ikan besar muncul dari dalam tasik. Ia sebesar bas dan hanya muncul sekejap sebelum hilang semula," katanya.

Orang Asli suku Jahai yang ditemui di Sungai Kejar yang hanya mahu dikenali sebagai Sain berkata, ikan toman gergasi memang wujud dan menjadi satu haiwan paling menakutkan di tasik itu selain kewujudan buaya besar di kawasan sungai. Malah, katanya, bukan sesuatu yang mustahil mengenai kewujudan itu kerana memang ikan di tasik Temenggor bersaiz besar dan selalu Orang Asli dapat menangkap ikan sehingga sebesar seorang budak bayi. "Ikan toman itu wujud. Buaya besar juga wujud. Selalu juga Orang Asli nampak tapi siapa berani tangkap. Takut, ia besar sangat. Pernah dulu budak kena makan tapi tak tahu buaya atau ikan yang makan. "Kami ada jumpa buaya sepanjang sampan di sungai hujung Sungai Kejar. Besar sangat dan sampai hari ini masih ada di sana. Boleh ke sana kalau tak percaya," ceritanya dengan bersungguh-sungguh. Cerita tasik Temenggor dengan keanehan ikan di situ sebenarnya ada sisi lain yang lebih menarik.

Mengujakan apabila wartawan BH berpeluang mengikut beberapa orang kampung meredah tasik di tengah gelap malam untuk melihat sendiri aktiviti mereka memburu ikan. Nyata mereka hebat dan seperti boleh menghidu situasi di tasik itu apabila jurumudi bot boleh mengemudi bot dengan baik walaupun dalam keadaan sangat gelap. Bahaya sentiasa ada kerana di tasik Temenggor ada banyak pokok lama yang muncul di tengah tasik. Debaran terasa apabila bot yang dikemudi terus menuju masuk ke kawasan Sungai Gadong kerana laluannya semakin sempit dan dipenuhi lambakan batang balak yang menyimpang sungai.

Bot enjin terpaksa dimatikan dan bot digerakkan dengan menggunakan pengayuh. Dengan sekadar menggunakan lampu suluh kecil, tiga orang kampung diketuai 'Man Kelah' menyelam sungai yang gelap memburu ikan kelah. Kata Man, ikan pasif pada waktu malam dan pergerakannya juga perlahan, sekali gus memudahkan pemburuan. Terbukti, selepas kira-kira sejam menyelam, 10 ikan kelah berjaya dibawa naik dengan hanya menggunakan panah besi.

Selepas menonton semula video rakaman aktiviti memburu di dalam sungai itu, rasa kagum kerana dalam keadaan gelap dan sungai yang penuh dengan halangan kayu dan batu, mereka mampu mengesan lokasi ikan dan menangkapnya. Hebat orang kampung di sana kerana mampu bertahan lama menyelam dalam sungai. Menurut Man Kelah, dulu ada beberapa orang kampung yang boleh menyelam sehingga berjam-jam, malah sehingga separuh hari dengan ilmu yang mereka miliki. "Itu dulu, memang ada yang boleh menyelam lama dalam tasik dan tiba-tiba muncul dengan ikan besar. Sekarang tidak ada lagi yang begitu," katanya yang mendapat gelaran itu kerana kemahirannya menyelam memburu ikan kelah. sumber

No comments: