Thursday, March 26, 2015

MISTERI Kuala Selangor

KUALA SELANGOR: Bukit Malawati dan Kuala Selangor tidak terkecuali dengan pelbagai kisah unik yang diwarisi turun-temurun.

Pengunjung ke daerah ini boleh melihat kesan kisah keramat dan dongeng, antaranya tempat peninggalan harta sultan, meriam penggawa, keris tua, keramat Rubiah, batu harimau, telaga, keramat Syed, pokok besar tempat memancung kepala dan kera serta lotong.


Telaga Tujuh di kaki Bukit Malawati, Kuala Selangor. - Foto Rosdan Wahid
Berikut kisah unik di sebalik bahan bersejarah yang terdapat di Bukit Malawati dan Kuala Selangor, seperti diceritakan oleh penulis buku Sejarah Kuala Selangor, Datuk Yusoff Hassan kepada wartawan BH.

Harta Istana

Pelbagai harta istana seperti lembing dan keris tujuh, lima serta tiga lok tersimpan di dalam gua, berhampiran Busut Malawati. Pada tahun 1975, seorang lelaki cuba mendapatkan keris dari dalam gua ini dengan menggunakan khidmat seorang bomoh untuk memuja, tetapi gagal. Sebaik pulang ke rumah, lelaki itu dikatakan bermimpi didatangi satu lembaga hitam dan mencekiknya.

Pada zaman dahulu, tempat penyimpanan harta itu dikawal oleh Datuk Puteh, selaku bendahari. Kononnya, apabila Datuk Puteh meninggal dunia, dia dikebumikan pada satu sudut busut ini, yang mana tempat itu kini terdapat sepohon sena.


Meriam penggawa yang sentiasa dibalut kain kuning ini terletak di dalam kawasan Makam Tiga Sultan. - Foto Rosdan Wahid
Meriam penggawa

Meriam yang diperbuat daripada besi kuning ini meletup secara sendiri pada tahun 1961 dan 1978. Punca meriam itu meletup sendiri masih menjadi misteri. Malah, ada yang mengatakan ia akan meletup sendiri setiap kali pertabalan Sultan Selangor yang baharu. Meriam penggawa yang sentiasa dibalut kain kuning ini terletak di dalam kawasan Makam Tiga Sultan.

Keris tua

Pada 23 September 1976, terdapat kisah seorang individu bernama Husain Omar terjumpa keris tua terpacak di pangkal pokok jejawi. Pada malamnya, Husain bermimpi diarahkan menyerahkan keris itu kepada seseorang berketurunan raja yang boleh dipercayai.

Keesokannya, dia menyerahkan keris ini kepada Raja Nasron Raja Ishak yang ketika itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Selangor. Selepas menerima keris ini, Raja Nasron dikatakan menyarungkan kepada sarung serta hulu lama yang disimpannya dan ternyata ia sepadan dengan hulu dan sarungnya. Keris ini hingga kini berada dalam simpanan Raja Nasron.


Telaga ini dikatakan berusia tidak kurang 180 tahun dan terletak di Cangkat Bukit Tanjung, berhampiran Tasik Shina. - Foto Rosdan Wahid
Keramat Rubiah

Terletak di hujung jalan ke Tanjung Keramat, kira-kira satu kilometer dari bandar Kuala Selangor serta berada di atas bukit keramat setinggi 100 kaki dari aras laut di pinggir Tasik Shina. Mengikut kisahnya, ada seorang anak dara yang sangat cantik dan warak bernama Rubiah dipaksa berkahwin dengan seorang pemuda tanpa persetujuannya.

Rubiah tiba-tiba ghaib pada malam pernikahan dan jasadnya tidak ditemui sehingga kini. Ibu bapanya hanya menjumpai baju anaknya di sebatang pokok dan mendirikan sebuah makam sebagai tanda mengingati anaknya itu.

Ketika ini, bukit kecil di Tasik Shina hanya tinggal busut sahaja kerana batunya di kelilingnya sudah diletupkan bagi pembinaan jalan raya.

Batu Harimau

Terdapat dua ketul batu kecil dan seketul lagi besar, menyerupai tiga ekor harimau, terletak di tepi Sungai Selangor berhampiran jambatan feri lama. Kisahnya, batu ini berasal dari tiga ekor harimau, iaitu seekor harimau betina bersama dua ekor anak hendak menyeberang sungai untuk ke Permatang.
Walaupun ditegur seekor kelambai supaya jangan menyeberang, teguran itu tidak diendahkan menyebabkan kelambai yang mempunyai kuasa ajaib menyumpah ketiga-tiga ekor harimau ini menjadi batu.
Kisah ini ada persamaan dengan dongeng Batu Katak di Kampung Batu Papan, Temerloh, Batu Kucing Bertanduk di Kota Tinggi dan Batu Sapi di Sabah.


Telaga Tujuh di kaki Bukit Malawati, Kuala Selangor. -Foto Rosdan Wahid
Telaga Tujuh

Telaga ini dikatakan berusia tidak kurang 180 tahun dan terletak di Cangkat Bukit Tanjung, berhampiran Tasik Shina. Simen telaga ini ada persamaan dengan beberapa nesan lama di pinggir makam sultan. Ada pendapat mengatakan telaga ini milik Si Lamat dan Si Laba, iaitu dua orang hamba yang kurang waras, tetapi taat kepada sultan.

Keramat Syed

Pusara berbatu marmar putih ini terletak berhampiran tebing Sungai Selangor, tidak jauh dari Batu Harimau. Ada pendapat mengatakan ia adalah makan Syed Japhar yang menjadi ketua orang Selangor ketika perang menentang Belanda.

Pokok besar tempat pancung kepala

Pokok sebesar empat pemeluk ini terletak berhampiran kaki bukit Kuala Selangor. Di pangkal pokok ini menjadi tempat memancung kepala dan terdapat beratus-ratus kubur lama. Namun, pada tahun 1977, pokok ini tumbang dan mati akibat dipanah petir.


Meriam yang diperbuat daripada besi kuning ini meletup secara sendiri pada tahun 1961 dan 1978. - Foto Rosdan Wahid
Kera dan lotong

Mengikut satu cerita, pada 1960, seorang budak lelaki cuba melastik seekor kera yang berada di atas pagar makam, namun secara tiba-tiba budak itu menggelupur dan pengsan.



Punca meriam itu meletup sendiri masih menjadi misteri. - Foto Rosdan Wahid

Meriam penggawa yang sentiasa dibalut kain kuning ini terletak di dalam kawasan Makam Tiga Sultan. - Foto Rosdan Wahid

No comments: